BUKIT MERTAJAM, 28 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengagihkan 28,000 ekor ayam segar kepada penduduk di 28 kariah masjid sekitar Parlimen Permatang Pauh di sini menerusi dua fasa iaitu pada Jumaat lepas dan hari ini.
Pegawai Khas Anwar di Pulau Pinang Zainal Abidin Saad berkata kesemua ayam seberat 56 tan itu, yang diagihkan secara percuma, adalah sumbangan Perdana Menteri secara peribadi kepada orang ramai meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Permatang Pauh iaitu Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.
"Jumaat lepas, sumbangan itu diagihkan kepada 14 masjid melibatkan 14,000 ekor ayam dan ia diteruskan hari ini, juga dalam jumlah yang sama dengan setiap orang menerima seekor ayam.
"Ini adalah sumbangan peribadi Perdana Menteri dalam membantu rakyat terutama menjelang sambutan Aidilfitri nanti, ia juga sebagai tanda keprihatinan beliau terhadap rakyat dan orang ramai teruja untuk mendapatkannya kerana ayam segar tersebut adalah daripada PMX," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama pada program pengagihan ayam segar di Masjid Jamek Kampung Mengkuang di sini hari ini.
Pada program itu, sebanyak 1,000 ekor ayam diagihkan dan meskipun hujan, orang ramai termasuk jemaah solat Jumaat masjid tersebut beratur untuk mendapatkannya dan proses agihan selesai dalam tempoh sejam.
Siti Halijah Mohd Nordin, 42, berkata dia tahu mengenai pemberian ayam segar itu melalui makluman di masjid dan laman sosial Pegawai Penyelaras Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti Salehan Yahaya.
Suri rumah itu berkata walaupun setiap seorang hanya menerima seekor ayam, itu sudah cukup untuk membolehkan keluarganya menyediakan juadah tambahan pada Aidilfitri nanti.
"Saya dan suami ada dua anak, jadi saya rasa sumbangan seekor ayam oleh Perdana Menteri itu dapat melengkapkan juadah kami raya nanti, terima kasih kepada PMX," katanya yang tinggal di Kampung Mengkuang.
Muhammad Zuhairi Abu Kasim, 35, pula berkata dia teruja semasa beratur bersama-sama orang lain untuk mendapatkan ayam segar itu walaupun hujan selepas solat Jumaat.
"Alhamdulillah, masing-masing dapat seekor ayam hari ini, saya simpan untuk isteri masak bagi sambutan hari raya nanti, pertama kali dapat ayam percuma daripada Perdana Menteri, jadi kami cadang nak masak istimewa iaitu rendang ayam Ahad ini," katanya yang bekerja di sebuah kilang di Perai dan menetap di Mengkuang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial