AM

Kerajaan Lulus RM38 Juta Untuk Pengangkutan Gula Ke Sabah, Sarawak Dan Labuan - Armizan

28/03/2025 06:22 PM

PAPAR, 28 Mac (Bernama) -- Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM38 juta setahun bagi menampung kos pengangkutan perkapalan untuk membawa gula putih bertapis dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak, dan Labuan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata mesyuarat Kabinet baru-baru ini bersetuju dengan syor KPDN supaya meningkatkan kos pengangkutan daripada 10 sen sepaket gula kepada 20 sen, bermula bulan depan.

“Ini mencerminkan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam memastikan bekalan gula putih bertapis di Sabah, Sarawak, dan Labuan tidak terputus.

“Saya amat berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyokong peningkatan kos peruntukan daripada RM19 juta kepada RM38 juta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ihya Ramadan Parlimen Papar di Dewan Datuk Salleh Sulong, di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar berkata Kabinet turut bersetuju untuk mewujudkan stok penimbal gula sebanyak 1,000 tan metrik di Sabah, Sarawak, dan Labuan bagi memastikan tidak berlaku gangguan bekalan barangan asas tersebut.

“Bagi tujuan ini, perbincangan akan diadakan bersama dua syarikat pengilang gula tempatan, iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

“Kerajaan Persekutuan juga meluluskan peruntukan sekali bayar sebanyak RM1 juta bagi setiap stok penimbal memandangkan syarikat pengeluar gula berdepan kerugian,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa bekalan gula negara diimport dari Thailand dan Brazil selepas penutupan kilang gula di Perlis.

Armizan berkata satu jawatankuasa teknikal pemantauan harga dan bekalan barangan telah diinstitusikan dan akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN dengan penglibatan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan.

“Melalui mesyuarat berkala, jawatankuasa ini bukan sahaja bertindak secara responsif terhadap isu-isu berkaitan harga barang dan bekalan, tetapi juga membuat perancangan lebih awal, terutamanya bagi menghadapi musim perayaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan