DUNIA

Niaga Hadapan MSM Terus Meningkat Susulan Lonjakan Minyak Kacang Soya

28/03/2025 09:41 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus mencatatkan kenaikan pada Jumaat dipacu oleh lonjakan positif dalam niaga hadapan minyak kacang soya Chicago Board of Trade (CBOT) semalam, menurut seorang penganalisis.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata kenaikan tersebut disokong lagi peningkatan berterusan daripada niaga hadapan minyak sawit RBD (ditapis, diluntur dan dinyahbau) di Dalian Commodity Exchange (DCE).

"Keuntungan semasa waktu dagangan Asia hari ini mencetuskan pembelian liputan pendek ýang kukuh dan pembelian pada harga rendah dalam niaga hadapan MSM menjelang hujung minggu yang panjang.

"Pada malam Khamis (zon waktu Asia), niaga hadapan minyak soya CBOT melonjak naik selepas berita tersebar mengenai pentadbiran Donald Trump yang meminta pengeluar minyak dan biofuel merundingkan perjanjian mengenai fasa seterusnya dasar biofuel negara berkenaan," katanya kepada Bernama.

Sependapat dengan Anilkumar, peniaga minyak sawit David Ng berkata niaga hadapan MSM berkembang melebihi RM4,400 setiap tan akibat kenaikan harga minyak kacang soya.

Katanya, jangkaan pengeluaran juga lebih lemah daripada yang diunjurkan dalam beberapa minggu akan datang.

"Harga minyak soya yang lebih kukuh dipacu terutamanya oleh dasar biofuel Trump yang dijangka merangsang permintaan yang lebih tinggi untuk minyak kacang soya.

"Oleh itu, kami melihat paras sokongan pada RM4,350 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,550 setiap tan," katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak April 2025 menokok RM70 kepada RM4,762 setiap tan, Mei 2025 bertambah RM100 kepada RM4,551 setiap tan dan Jun 2025 mencatatkan kenaikan RM107 kepada RM4,419 setiap tan.

Julai 2025 meningkat RM105 kepada RM4,312 setiap tan, Ogos 2025 naik RM101 kepada RM4,239 setiap tan dan September 2025 melonjak RM98 kepada RM4,200 setiap tan.

Jumlah dagangan susut kepada 89,655 lot berbanding 90,089 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka bertambah sedikit kepada 258,352 kontrak berbanding 256,266 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk April Selatan meningkat RM70 kepada RM4,830 setiap tan.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada 31 Mac dan 1 April bersempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri, tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan