EKONOMI

KWSP Model Untuk Reformasi Persaraan Mampan - Forum Ekonomi Dunia

29/03/2025 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Pendekatan Malaysia terhadap pembaharuan sistem persaraan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah disebut oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebagai model untuk membina sistem persaraan jangka panjang dalam ekonomi sedang pesat membangun.

Dalam kertas putihnya,  'Future-Proofing the Longevity Economy: Innovations and Key Trends’, WEF berkata KWSP mempunyai strategi penyesuaian yang mengimbangi kemampanan kewangan, ekuiti antara generasi dan keterangkuman untuk memastikan daya tahan bagi tempoh jangka panjang dalam sistem persaraan awam.

“Pembaharuannya menawarkan pandangan berharga bagi negara yang mahu memodenkan sistem persaraan sebagai tindak balas kepada peralihan realiti demografi dan ekonomi,” katanya.

 

Pendekatan Diperhalusi KWSP

KWSP membenarkan pengeluaran sebahagian dari simpanan untuk perbelanjaan perumahan, pendidikan dan perubatan, menawarkan pekerja tahap fleksibiliti kewangan, pada masa sama mengekalkan simpanan jangka panjang untuk persaraan.

Semasa pandemik COVID-19, Malaysia memperkenalkan skim pengeluaran sementara untuk membantu pekerja mengharungi kesukaran ekonomi walaupun ia menimbulkan kebimbangan sama ada jumlah simpanan persaraan mencukupi.

Pada 2024, KWSP memperkenalkan struktur tiga akaun, memperuntukkan 75 peratus simpanan untuk persaraan, 15 peratus untuk pengeluaran bersyarat (contohnya perumahan atau pendidikan) dan 10 peratus untuk akaun fleksibel yang boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa untuk kecemasan.

KWSP juga melancarkan inisiatif seperti i-Saraan, menggalakkan caruman sukarela daripada pekerja tidak formal menerusi insentif padanan kerajaan.

“Setakat 2024, kerajaan menyediakan insentif padanan 20 peratus (sehingga RM500 [kira-kira $110] setahun), membawa kepada peningkatan 53 peratus dalam penyertaan, daripada 380,000 ahli pada 2023 kepada 580,000 pada 2024,” katanya.

 

Perluaskan Liputan Mandatori kepada Pekerja

KWSP menekankan bahawa Malaysia sedang meneroka pembaharuan untuk meningkatkan celik kewangan, memperluaskan liputan mandatori kepada pekerja tidak formal dan asing serta meningkatkan kemudahalihan bagi pekerja yang beralih antara sektor formal dan tidak formal.

"Usaha ini menandakan komitmen kerajaan untuk mengubah sistem tersebut menjadi model yang lebih inklusif dan mampan," katanya.

Dengan adanya pelan hala tuju untuk perubahan perundangan dan pengembangan liputan, Malaysia bersedia untuk menutup jurang 40 peratus dalam liputan tenaga kerja untuk akses kepada skim persaraan rasmi.

Bagaimanapun, liputan bagi sektor tidak formal, menyumbang sebahagian besar tenaga kerja negara, masih menjadi cabaran.

 

Memperkukuh Sistem Persaraan

WEF berkata salah satu tindakan kritikal untuk mengukuhkan sistem persaraan awam dan meningkatkan keselamatan kewangan untuk generasi akan datang ialah pelaksanaan mekanisme pembiayaan yang mampan.

Ia berkata pelarasan kadar caruman, menghubungkan umur persaraan dengan jangka hayat dan mempelbagaikan strategi pelaburan boleh membantu mengekalkan kesolvenan sistem tanpa membebankan generasi muda.

Selain itu, memperluaskan liputan kepada pekerja tidak formal dan pekerja gig dengan dasar seperti faedah persaraan lebih mudah dan skim pencen mikro insentif boleh meningkatkan lagi keselamatan kewangan bagi mereka yang berada di luar struktur pekerjaan tradisional.

Satu lagi langkah penting ialah menggalakkan atau mewajibkan pendaftaran automatik dalam simpanan persaraan.

Negara yang mempunyai pendaftaran automatik dalam pelan pencen atau simpanan persaraan telah menyaksikan kadar penyertaan yang lebih tinggi dengan ketara, membantu individu mengumpul simpanan yang mencukupi untuk persaraan.

"Memperluaskan dasar pendaftaran automatik dan dorongan tingkah laku boleh memacu keselamatan kewangan jangka panjang terutamanya untuk pekerja berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan