AM

Aidilfitri Paling Bermakna Bekas Penghuni Darul Wardah

29/03/2025 12:54 PM

SHAH ALAM, 29 Mac (Bernama) -- Sambutan Aidilfitri tahun ini membuka lembaran baharu buat tiga bekas penghuni rumah kebajikan Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah (Darul Wardah) kerana berpeluang mengecapi nikmat 'kemenangan’ sebagai insan yang telah berubah.

Lebih manis, mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing sempena Syawal selepas beberapa tahun menghuni rumah kebajikan berkenaan.

Meskipun berat meninggalkan institusi yang banyak mengajar erti iman dan taqwa, mereka dikenali sebagai Nana, Lisa dan Sally tetap bersyukur kerana dapat balik ke rumah dalam keadaan lebih baik selepas masing-masing mempunyai sejarah hitam terjebak masalah sosial hingga terlanjur.

Nana, 21, dari Klang, Selangor berkata ketika memasuki Darul Wardah, dia mengandung anak luar nikah tetapi tenaga pengajar dan penghuni lain menerima seadanya berbanding masyarakat di luar yang lebih banyak menghina.

"Selepas diarahkan bersalin awal pada Mac tahun lepas, anak saya hanya sempat 'melihat dunia' untuk 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia akibat komplikasi dalam kepala. Ketika itu hanya rakan dan tenaga pengajar sambut, beri semangat dan kekuatan kepada saya yang berada di titik terendah dalam hidup.

"Sebab itu, agak berat untuk saya melangkah meninggalkan Darul Wardah kerana tempat ini banyak mengajar erti kehidupan sebenar melalui didikan mengikut ajaran agama Islam secara terperinci," katanya ketika ditemui Bernama di rumah kebajikan itu di Jalan Kebun di sini.

Nana berkata keakraban antara penghuni lain yang senasib dengannya membuatkan dia bersyukur dengan kehidupan semasa berbanding sebelum ini, yang mudah terpengaruh dengan keseronokan sementara seperti dipaparkan di media sosial.

Setelah hampir dua tahun sejak menjejakkan kaki ke rumah kebajikan itu pada Dis 2023, anak bongsu dari tiga beradik itu berkata Aidilfitri kali ini sangat bermakna kerana mendapat tahu keluarganya juga tidak sabar menanti kepulangan insan yang telah berubah itu.

Ditubuhkan pada 2008, Darul Wardah diwujudkan untuk memberikan perlindungan sementara dan pemulihan dari segi akidah, emosi dan spiritual bagi memperkasa maruah diri wanita selari dengan ajaran al-Quran dan Sunnah.

Diasaskan oleh Hazlina Abd Razak, pertubuhan itu menempatkan wanita dalam lingkungan umur 15 hingga 41 tahun yang pernah menghadapi masalah moral seperti terlanjur dan murtad.

Sementara itu, Lisa, 20, berkata dia tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan teruja apabila dimaklumkan telah dibenarkan keluar dari Darul Wardah sempena Hari Raya yang akan disambut tidak lama lagi.

Menurut Lisa, rumah kebajikan yang menjadi tempat perlindungannya sejak 2023 itu telah mendidiknya menjadi seorang ibu yang bertanggungjawab termasuk insan yang lebih bertaqwa.

"Saya masuk ke sini selepas terlanjur dan mengandung anak luar nikah tetapi dengan izin Allah, keluarga saya menerima saya untuk beraya bersama tahun ini, dan insya-Allah saya akan gunakan peluang ini memulakan kehidupan sebagai insan lebih berguna.

"Lebih manis, saya tidak balik sendirian tetapi bersama anak perempuan berusia setahun tiga bulan yang lahir ketika saya menjadi penghuni di sini," katanya yang akan pulang ke Subang.

Bagi Sally, 24, dia sedang menantikan kehadiran keluarganya dari Sik, Kedah untuk menjemputnya pulang apabila dibenarkan keluar dari rumah kebajikan itu.

Anak keenam dari tujuh beradik itu berkata pengalaman di Darul Wardah tidak mungkin dilupakan seumur hidupnya apatah lagi rakan dan tenaga pengajar berjaya membuatnya lupa tentang kesilapan lalu dan menyedarkan dirinya untuk tidak jatuh ke 'lubang' sama pada masa akan datang.

Sally berkata dia telah melahirkan seorang bayi perempuan pada Ogos tahun lepas tetapi terpaksa menyerahkannya kepada penjaga baharu di Kedah kerana tidak mampu untuk menjaga dan membesarkan bayi tersebut.

"Ibu saya telah tiada dan kini hanya ada ayah sahaja… saya berazam mahu pulang ke rumah untuk berbakti kepada keluarga dan pastikan Aidilfitri tahun ini menjadi lembaran baharu buat kehidupan seterusnya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan