JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara Guru Rugi RM200,000 Angkara ‘Phone Scam’

29/03/2025 02:30 PM

KUANTAN, 29 Mac (Bernama) -- Seorang pesara guru kerugian RM200,000 selepas terperdaya dengan penipuan menerusi panggilan telefon pada 14 Feb lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 71 tahun itu pada mulanya dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai kesihatan dan memaklumkan mangsa mempunyai bil tunggakan rawatan berjumlah RM68,000.

Beliau berkata selepas mangsa menafikan perkara berkenaan, akaun bank miliknya pula didakwa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa berhubung dengan beberapa individu kononnya pegawai polis untuk menyelesaikan masalah itu dan wanita berkenaan telah didorong melakukan tujuh transaksi ke dalam satu akaun berjumlah RM200,000 menggunakan wang simpanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Yahaya berkata mangsa yang kemudiannya mengesyaki diperdaya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan