AM

Sarawak Catat 11 Kes Rabies Baharu Pada Mac

29/03/2025 02:43 PM

KUCHING, 29 Mac (Bernama) -- Makmal Diagnostik Veterinar Sarawak (SVDL) mengesan 11 kes baharu positif rabies positif bulan ini, dengan beberapa insiden gigitan melibatkan anjing terbiar dan peliharaan yang berkeliaran bebas di daerah Kuching, Padawan dan Bau.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata lokasi terjejas termasuk Kampung Sejijak, Batu Kawa, Kampung Surih Stapok, Kilang MJC Batu Kawa, Jalan Stephen Yong, Jalan Penrissen Padawan, Jalan Sebuku Buso, Pekan Paku Bau, Jalan Bau Lama, Kampung Nyabut Trombol, Taman Hillside Matang dan Taman Desa Sejijak.

“Susulan pengesanan ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) telah mewajibkan semua pemilik haiwan peliharaan dalam radius satu kilometer daripada kawasan yang dijangkiti, untuk segera memberikan vaksin kepada haiwan mereka.

“Orang ramai diingatkan bahawa kegagalan mematuhi keperluan vaksinasi antirabies, satu kesalahan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 (VPHO 1999), yang boleh dikenakan denda sehingga RM2,500,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Rundi berkata bagi membendung penyebaran rabies, DVSS akan mengadakan program vaksinasi rabies percuma, pelesenan anjing dan penanaman mikrocip di Dewan Masyarakat, Jalan Padungan pada 12 April dan di Balai Raya Desa Wira pada 26 April dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

“Pemilik haiwan peliharaan juga perlu memohon lesen anjing dan menanam mikrocip pada haiwan mereka melalui majlis tempatan masing-masing.

“Kegagalan mendapatkan lesen, satu kesalahan di bawah Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Kawalan Anjing 2018, yang boleh dikenakan denda sehingga RM5,000. Pembuangan haiwan peliharaan juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 73 VPHO 1999, yang membawa denda sehingga RM2,000,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri, jumlah kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak Julai 2017 kekal sebanyak 83 kes, dengan 76 kematian dan tiada kematian dilaporkan setakat tahun ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan