AM

Aidilfitri: Suri Rumah Tidak Menang Tangan Siapkan Tempahan Ketupat Palas

29/03/2025 03:53 PM

PADANG BESAR, 29 Mac (Bernama) -- Berbekalkan pengalaman 15 tahun dalam penyediaan ketupat palas, seorang suri rumah dari Kampung Penghulu Jaafar, Beseri dekat sini kini tidak menang tangan menyiapkan tempahan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Nor Azliza Bidin, 42, berkata setakat ini dia telah menerima tempahan lebih 150 kilogram (kg) ketupat homemade atau buatan sendiri, yang disediakan mengikut resipi diwarisi daripada ibunya.

“Resipi ketupat ini diwarisi daripada ibu saya yang turut mengambil tempahan membalut dan menjual ketupat sejak 25 tahun lepas, dan kini saya pula meneruskan apa yang mak dah buat sebelum ini.

“Saya akan memastikan cara penyediaan ketupat ini sama seperti ibu saya, supaya dapat memberikan rasa asli berlemak dan sedap untuk dinikmati pelanggan,”  katanya kepada Bernama.

Selain ketupat biasa, dia turut menghasilkan ketupat jagung, pulut hitam, kacang dan ketupat serunding malah turut menyediakan ketupat sejuk beku yang dijual pada harga antara RM26 hingga RM30 sekilogram.

"Alhamdulillah, saya dibantu dua pekerja yang juga saudara terdekat kerana tempahan ketupat palas ini diterima sepanjang tahun, bukan hanya ketika musim perayaan. Pelanggan pun ada luar dari negeri ini termasuk Johor dan Kuala Lumpur," katanya.

Nor Azliza berkata pada kebiasaannya, pelanggan akan menempah lebih 25 kilogram setiap seorang ketika musim perayaan dengan media sosial menjadi platform untuknya mempromosikan jualan ketupat itu.

Sementara itu, seorang pelanggan tetap sejak lima tahun lepas, dikenali sebagai Wan Shafinas, 37, berkata ketupat palas buatan Nor Azliza rasa lemak dan mengingatkannya kepada ketupat yang disediakan oleh neneknya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan