KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada pelajar dan guru atas kiriman kad raya kreatif sempena Aidilfitri.
Menerusi hantaran video di Facebook rasminya hari ini, Perdana Menteri menyifatkan ingatan serta coretan dalam kad raya tersebut sebagai sesuatu yang amat bermakna sekali gus menambah keceriaan suasana perayaan.
“Terima kasih atas coretan anak-anak pelajar dan guru-guru sempena Aidilfitri ini. Ingatan kalian dalam kad raya yang begitu kreatif menceriakan sambutan Aidilfitri saya dan keluarga tahun ini.
"Saya doakan keafiatan dan kesejahteraan buat semua, insya-Allah,” katanya.
Menerusi video berdurasi lebih dua minit itu, Anwar turut membaca beberapa kad raya antaranya daripada Sekolah Kebangsaan Desa Bakti (Pendidikan Khas) dan ada juga pelajar yang mengambil kesempatan memohon tandatangan Perdana Menteri sebagai kenangan.
Beliau juga memohon maaf kerana tidak dapat membalas semua kad raya yang dikirimkan.
“Kepada semua anak-anak yang begitu baik budi, pesan pula tu sila balas, jangan tak balas, kalau tak dapat balas semua, mohon maaf,” kata Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial