JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek Pecah Rumah Di Subang Jaya Selesai Jalani Pembedahan Keluarkan Serpihan Peluru

29/03/2025 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Seorang daripada dua suspek yang ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk sebuah rumah di Jalan SS14, Subang Jaya, dekat sini semalam, selesai menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan peluru (di bahagian bawah pusat).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata suspek berusia 30-an itu berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di sebuah hospital di Subang Jaya.

“Seorang anggota polis yang dirempuh semasa kejadian hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek pertama berusia 40-an direman empat hari hingga 1 April ini manakala suspek kedua yang cedera akibat terkena tembakan itu pula direman enam hari hingga 3 April.

Wan Azlan berkata semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah selain ujian air kencing turut mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

“Semasa tangkapan dilakukan, beberapa barang milik mangsa pecah rumah juga telah ditemukan dan hasil soal siasat kedua-dua suspek mengaku terlibat kes yang sedang disiasat,” katanya, menambah pemeriksaan lanjut juga dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka turut terlibat dalam kes lain.

Dalam kejadian 3.50 petang semalam, polis menahan dua lelaki selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan SS14, Subang Jaya.

Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki suspek selepas mereka bertindak melanggar motosikal serta seorang anggota polis yang berada di tempat kejadian.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan