AM

RUU Perkhidmatan Parlimen Langkah Permulaan Kebebasan, Kecekapan Institusi Parlimen

30/03/2025 10:20 AM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 30 Mac (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen yang telah diluluskan baru-baru ini menandakan satu langkah permulaan penting dalam memperkukuh kebebasan dan kecekapan institusi Parlimen Malaysia.

Pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata satu daripada aspek utama yang ditekankan dalam RUU itu ialah pengembalian kebebasan pentadbiran dan kewangan Parlimen, yang sebelum ini diletakkan di bawah kawalan eksekutif sejak pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 pada 1992.

Beliau berkata RUU itu membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) mengurus hal ehwal kewangan, pelantikan, kenaikan pangkat, serta pentadbiran tanpa bergantung kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Aspek jaminan peruntukan kewangan itu merupakan satu bentuk yang diperlukan dalam proses semak imbang sistem demokrasi kerana eksekutif tidak wajar secara langsung menentukan saraan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, maka elemen itu ada dalam akta terbabit.

"Hal ini membebaskan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat daripada kawalan langsung dan ihsan pihak eksekutif bagi maksud penentuan kepentingan saraan dan kemudahan yang mereka layak. Lantaran mereka boleh mengadili persidangan Parlimen secara saksama," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dari sudut kewangan, perjawatan dan kenaikan pangkat bagi anggota Perkhidmatan Parlimen, kini terdapat jaminan kerana Parlimen dikehendaki memperuntukkan sejumlah dana yang mencukupi bagi maksud akta itu, justeru mereka tidak tertakluk kepada JPA.

"Dengan kelulusan RUU ini, Malaysia menyertai beberapa negara Komanwel lain yang telah memperkenalkan mekanisme serupa, walaupun bentuknya tidaklah sama 100 peratus, tujuannya untuk mewujudkan kebebasan dari aspek kewangan dan pentadbiran dalaman Parlimen," katanya.

Wan Ahmad Fauzi berkata inisiatif kerajaan MADANI yang telah berjaya mengembalikan akta itu selepas dimansuhkan pada 1992 harus dilihat secara positif dengan harapan beberapa aspek masih perlu ditambah baik antaranya melibatkan kewangan, waran perjawatan, skim perkhidmatan, kemudahan, kebebasan untuk sentiasa mengamalkan sikap berkecuali dan penyampaian perkhidmatan dengan mutu tinggi penuh berintegriti.

"Jika diperhatikan peruntukan akta itu, fungsinya lebih kepada mewujudkan skim perkhidmatan yang tidak terikat dengan perkhidmatan awam dan tumpuan kepada aspek latihan serta mutu perkhidmatan anggota Parlimen dan kumpulan sokongan kepada tugas Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

"Jika akta itu bertujuan menyerap pegawai dan petugas kontrak di Parlimen kepada jawatan tetap, saya yakin ini sedikit sebanyak dapat menjaga kebajikan mereka agar lebih terjamin masa depan dan selesa melaksanakan tugas, dengan itu mereka tidak terlalu rasa tertekan kerana berdepan risiko tidak disambung kontrak," katanya.

Wan Ahmad Fauzi dalam pada itu berkata reformasi dalam pengurusan maklumat dan sistem penyampaian di Parlimen Malaysia perlu seiring dengan keperluan semasa bagi memastikan keterbukaan dan keberkesanan sistem perundangan negara.

"Bukan sahaja untuk ahli Parlimen, tetapi juga penyelidik luar dan orang awam yang perlu akses kepada rekod dan pendidikan sistem perundangan negara.

"Parlimen kita bermula dengan Dewan Perundangan Persekutuan 1948. Sudah pasti banyak dokumen yang tersimpan di Parlimen perlu dipelihara dan diuruskan dengan sistematik agar mudah dicapai dan dibuat rujukan. 

"Jika kemudahan perkhidmatan Parlimen itu sebagai contohnya perpustakaan, akses kepada bahan rujukan dapat dimanfaatkan oleh ahli Parlimen melalui kemudahan sistem maklumat  yang canggih, sudah pasti amalan sistem demokrasi berperlembagaan dapat ditambah baik," katanya.

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Mac lepas, manakala Dewan Negara pada 20 Mac.

RUU itu antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.

Ia juga memperuntukkan penubuhan MPP yang berfungsi melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berhubungan dengan Perkhidmatan Parlimen.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan