AM

Malaysia Salur RM10 Juta Bantuan Kemanusiaan Kepada Myanmar - PM Anwar

30/03/2025 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia memutuskan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan RM10 juta sebagai permulaan bagi membantu rakyat Myanmar yang terkesan dengan kejadian gempa bumi di negara itu.

Beliau berkata sebagai manifestasi tanggungjawab dan solidariti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, beliau turut telah mengarahkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetuai misi kemanusiaan ke negara itu minggu hadapan.

"Lawatan ini bertujuan menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang giat dijalankan, termasuk oleh pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah memulakan penugasan di lapangan bermula hari ini," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Seramai 50 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di bawah NADMA berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pagi ini bagi misi kemanusiaan serta membantu operasi SAR mangsa gempa bumi di negara itu.

Anwar berkata semangat kebersamaan dan tindakan kolektif dalam kalangan negara anggota ASEAN amat penting dalam menangani situasi kemanusiaan seperti ini.

"Keutamaan ASEAN memelihara kesejahteraan rakyat serantau harus diterjemahkan menerusi tindakan yang cepat, berkesan, dan bersifat menyeluruh," katanya.

Beliau berkata Malaysia akan terus berunding dan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN bagi menyelaras bantuan diperlukan Myanmar serta memastikan setiap usaha yang digerakkan memberi impak bermakna kepada mangsa.

"Malaysia kekal komited untuk memperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan ASEAN yang berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama dan solidariti," katanya.

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda negara Asia Tenggara itu Jumaat lepas, dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.

Sehingga semalam, jumlah korban bencana itu di Myanmar mencecah hampir 2,000 orang selain ribuan cedera dan ratusan lagi masih hilang.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan