KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua umat Islam untuk terus mempertahankan jalinan hubungan baik sesama masyarakat berlainan kaum dan agama di negara ini.
Anwar berkata tanpa sikap hormat-menghormati, ihsan dan kasih sayang antara satu sama lain, negara tidak akan dapat menjamin kestabilan serta keamanan yang diharapkan.
"Bersempena Ramadan dan kedatangan Aidilfitri ini, marilah kita terus menekankan kepentingan mengangkat martabat insan, karamah insaniah sebagai makhluk yang luhur dan merdeka.
"Mudah-mudahan, Aidilfitri kali ini disambut dengan kesedaran sedemikian, mengangkat martabat kita sebagai manusia yang lebih berwibawa, berakhlak mulia dan menjalankan tugas dengan penuh amanah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Aidilfitri 2025 Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen tempatan hari ini.
Anwar turut berkongsi mengenai Program Ihya’ Ramadan yang beliau berpeluang sertai di beberapa kementerian dan negeri, termasuk di Selising (Kelantan), Tawau (Sabah), Chukai (Terengganu) serta beberapa tempat lain.
"Keistimewaannya ialah menyaksikan sendiri di peringkat akar umbi, mendengar denyut nadi rakyat, keluhan serta usulan mereka, selain melihat keberkesanan kaedah pelaksanaan yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Perbandaran atau Kerajaan Tempatan.
"Kita terus menjana pertumbuhan ekonomi, tetapi saya tegaskan bahawa kekuatannya akhirnya terletak pada kejayaan kita mengangkat taraf kehidupan rakyat terbanyak," katanya.
Perdana Menteri turut melahirkan kesyukuran kerana dapat bersama-sama umat Islam menyempurnakan ibadah sepanjang Ramadan kali ini, yang diharapkannya dapat membentuk nilai baharu serta memberikan penegasan terhadap disiplin, integriti, selain meningkatkan kesihatan seluruh umat Islam.
"Alhamdulillah, kita telah sama-sama melalui bulan Ramadan al-Mubarak, menjalani latihan tarbiyyah Ramadan sebagai wahana perjalanan kerohanian untuk mendapat keredaan Allah SWT.
"Di samping itu, semoga kita terus lebih prihatin terhadap nasib jiran, kariah dan masyarakat sekeliling yang tersisih serta terbiar, termasuklah bencana malapetaka dan kezaliman yang berlaku di Gaza, Palestin," katanya.
Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Anwar turut menzahirkan permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia sambil menyatakan tekad untuk terus memimpin negara sebaiknya demi manfaat semua pihak.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, demikian diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam ini dalam satu siaran televisyen tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial