KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Barisan Jemaah Menteri hari ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam yang menyambut ketibaan Syawal esok, sambil mengajak rakyat supaya terus mengukuhkan ikatan silaturahim dan perpaduan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil melalui ucapan yang dikongsi di akaun media sosialnya berkata sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, keharmonian perlu terus dipelihara.
“Alhamdulillah, kita telah selesai menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Kini, dengan penuh rasa syukur, kita menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari yang penuh kegembiraan dan kemenangan buat umat Islam di seluruh dunia.
“Marilah kita terus memelihara keharmonian dengan semangat perpaduan, saling menghormati dan memperkukuh hubungan sesama rakyat Malaysia. Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang merayakannya. Maaf zahir dan batin,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak rakyat supaya menghargai pengorbanan anggota tentera yang sanggup bertugas jauh dari keluarga dan orang tersayang demi memastikan keselamatan serta kebebasan negara.
“Marilah dalam meraikan Hari Raya ini, kita menghargai perwira negara dengan meluangkan sedikit masa untuk menghantar doa agar mereka selamat dan terus dilindungi semasa menjalankan tugas. Kepada semua anggota Angkatan Tentera Malaysia, di mana sahaja mereka berada, saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Malaysia bangga dan berterima kasih kepada anda semua,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula mengingatkan rakyat supaya memastikan keselamatan rumah dan harta benda yang ditinggalkan terjaga ketika pulang ke kampung untuk menyambut lebaran mahupun bercuti.
“Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah. Keselamatan nyawa adalah segalanya. Ingat, keluarga kita menanti untuk menyambut dengan penuh kegembiraan, tentunya tidak mahu ia berakhir dengan tragedi.
“Polis Diraja Malaysia telah membekukan cuti 6,800 anggota khusus bagi mengawal kelancaran trafik serta membantu mereka yang pulang ke kampung,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam ucapannya di Facebook pula mengingatkan rakyat supaya menyambut Syawal dengan penuh kesederhanaan, tidak membazir serta berbelanja mengikut kemampuan.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para peladang, penternak dan nelayan yang telah bekerja keras memastikan sumber makanan negara sentiasa cukup dan terjamin. Kecekalan, ketekunan serta pengorbanan anda amat dihargai dan menjadi tunjang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri, ia mengingatkannya kepada hari kelahirannya.
“Saya lahir pada 1 Syawal, sekitar waktu orang ramai menunaikan solat hari raya. Jadi, setiap tahun, Hari Raya menjadi peringatan bahawa saya semakin tua. Saya berdoa semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua dan semoga kita bersederhana dalam menyambut Hari Raya,” katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menerusi video ucapan yang dimuat naik di Facebook berharap amalan kunjung-mengunjung pada Syawal ini dapat dimanfaatkan ikatan ukhuwah,, saling bermaafan serta mengeratkan perpaduan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan Hari Raya Aidilfitri beliau memuat naik video membakar lemang dengan kapsyen:
“Bantu anak-anak buah bakar lomang (lemang) di belakang rumah di kampung. Tendang itek (itik) sudah masak tengah hari tadi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang turut merakamkan ucapan Aidilfitri di laman media sosial masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial