AM

Hayati Semangat Aidilfitri, Elak Sengketa Dalam Masyarakat - Fahmi

31/03/2025 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menghayati semangat dan pengertian Syawal bagi menyemarakan lagi nilai keharmonian dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata sambutan Aidilfitri wajar dijadikan ruang serta peluang untuk mengeratkan silaturahim dan melupakan persengketaan.   

“Aidilfitri adalah ruang terbaik untuk kita mengeratkan silaturahim dan mengetepikan perbezaan, saling bermaafan, mengharmonikan suasana, dan bersama membina sebuah negara MADANI yang memiliki sifat serta semangat ihsan terhadap seluruh rakyat. 

“Harapan saya, kita semua dapat mengambil ibrah dan pengajaran dari tarbiah Ramadan yang baru saja berlalu, dan berusaha sedaya upaya untuk terus memperkukuh perpaduan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media rasmi pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara, di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri-menteri Kabinet.

Majlis itu turut dihadiri lebih 300 tetamu antaranya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai serta perwakilan asing.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata Malaysia yang kaya dengan pelbagai perayaan masyarakat majmuk menjadikan negara ini begitu unik.

Beliau berkata melalui sambutan perayaan seperti Aidilfitri masyarakat belajar untuk saling menghormati kepercayaan dan amalan agama masing-masing.

“Raya bukan sahaja disambut oleh orang Islam, tetapi turut diraikan oleh semua rakyat, ramai mengambil peluang untuk saling berkunjung ke rumah kawan-kawan, termasuk saya yang hadir ke istana bagi menyambut Hari Raya.

“Perayaan seperti ini menjadi platform penting untuk kita memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian, di samping memberi peluang kepada kita untuk mempelajari budaya serta cara hidup etnik dan agama lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan