KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata 112 mangsa yang cedera itu melibatkan penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baharu.
"Daripada 112 mangsa itu, 63 orang dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut akibat melecur dan masalah pernafasan serta luka.
"Bakinya iaitu 49 mangsa menerima rawatan awal di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Khas JBPM dan PDRM di sini hari ini.
Mohd Zaini berkata setakat ini, dua pusat pemindahan sementara dibuka iaitu Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Mohd Zaini berkata setakat ini tiada kematian dilaporkan tetapi siasatan masih dijalankan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pihak Petronas menutup empat injap utama saluran paip gas yang terletak di Dengkil, Puchong, Batu Tiga dan Meru bagi melepaskan saki baki gas asli bermula 8.46 pagi tadi.
Beliau berkata jarak daripada injap pertama ke injap keempat itu sejauh 32 kilometer.
“Kita juga telah mengarahkan pihak Petronas melakukan kerja-kerja pelepasan gas di empat injap bermula injap bernombor 209 hingga 212,” katanya.
Nor Hisham berkata injap terakhir ditutup pada 11.48 pagi tadi dan pihak Petronas menjangkakan tempoh empat jam diperlukan bagi keseluruhan gas asli dilepaskan dan api akan berkurangan seterusnya dapat dipadam.
“Pihak bomba tidak mengalami masalah kekurangan air dalam operasi ini tetapi memberi tumpuan kepada pelepas gas supaya kebakaran akan terpadam dengan sendirinya," katanya.
Jelas beliau setakat 1.30 tengah hari ini, tekanan gas pada saluran paip yang terbakar mencatatkan bacaan lapan peratus berbanding 50 peratus pagi tadi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai ahli keluarga di lokasi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi memudahkan proses evakuasi.
"Kita akan mulakan proses pusingan kedua iaitu memantau mangsa yang mungkin terperangkap di dalam rumah dan elemen plastik serta karbon terbakar susulan kejadian itu, bagi memudahkan pasukan masuk memadam kebakaran sekiranya ada," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial