AM

Kebakaran Saluran Gas: Api Semakin Reda Setakat 1.55 Petang - KP Bomba

01/04/2025 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya semakin reda setakat 1.55 petang ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata radius kebakaran juga berkurangan setakat waktu sama.

Beliau berkata pihaknya masih memantau di lokasi kejadian.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan memaklumkan bahawa setakat ini, seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam insiden itu dan dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata 49 lagi mangsa menerima rawatan awal di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya.

Mengulas mengenai dakwaan kejadian itu berpunca daripada kerja-kerja mengorek berdekatan saluran paip berkenaan, Nor Hisham berkata masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca kebakaran.

"Saya rasa agak awal untuk kita beri kenyataan (berhubung punca kejadian) jadi siasatan akan kita laksanakan diketuai polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan agensi berkaitan.

"Apabila selesai siasatan, kita akan maklumkan punca kejadian. Buat masa ini benyak kenyataan daripada pelbagai pihak tapi kita tidak dapat buat pengesahan awal," katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan