AM

Kebakaran Saluran Gas: 'Hujan Pasir, Debu' Di Kawasan Sekitar

01/04/2025 05:39 PM

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights yang berlaku pada pagi raya kedua hari ini agak ‘dahsyat’ apabila turut menyebabkan ‘hujan pasir dan debu’ bukan hanya di sekitar kawasan kejadian malah sehingga beberapa kilometer dari lokasi kejadian.

Pekerja swasta Nor Azian Jamil, 51, yang tinggal di Kampung Seri Aman, Puchong berkata walaupun rumahnya terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian, beliau turut merasai kesannya apabila halaman rumah dan kenderaannya turut ‘dilitupi’ pasir tanah merah serta kerikil halus.

“Pukul 8 pagi tadi saya nak pergi kerja, saya rasa pelik sebab dengar bunyi ngauman dan macam bunyi kapal terbang betul-betul atas bumbung rumah, apabila saya keluar saya lihat api menjulang tinggi jelas kelihatan walaupun jauh dan kenderaan saya sudah dipenuhi dengan debu dan batu kerikil halus,” katanya. 

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata bukan itu sahaja, bahang panas turut terasa di perkampungannya, dipercayai kesan letupan berkenaan. 

Tinjauan menerusi media sosial juga mendapati ramai pengguna yang memuat naik gambar serta video kenderaan dan kawasan rumah mereka ‘dihujani’ pasir dan batu kerikil halus. 

Seorang pengguna Facebook Azizee Bos Abul Habis menulis, “Seluruh Puchong dan Putra Heights kena hujan batu pasir debu … bunyi terbakar (kebakaran) sangat kuat dan dahsyat”. 

Pengguna Facebook Suppie Mahmud pula berkata beliau mendengar seperti bunyi pesawat terbang di ruang udara rumahnya dalam keadaan hujan renyai dan diikuti guruh.

“Lepas itu, jiran mesej dan bagi gambar atas bumbung rumah aku ada pasir, hujan pasir rupanya,” katanya menerusi catatan beliau. 

Sharoan Nastashia pula menulis, “Sepanjang 27 tahun hidup, ini ‘pestaim’ (buat kali pertama) kami nampak hujan pasir … heran kami ada bunyi pada atap tapi tak nampak pun air hujan turun, lama kami tengok hujan pasir kata suami saya”.

Kebakaran saluran paip gas berkenaan dilapor semakin berkurangan setakat 1.55 petang ini.

Seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam insiden itu dan dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut manakala 49 lagi mangsa menerima rawatan awal di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan