AM

Kebakaran Saluran Paip Gas: IKATAN Gesa Ketelusan Dalam Siasatan, Langkah Diambil

01/04/2025 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) menggesa Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan pihak berkuasa berkaitan agar telus dalam siasatan berhubung punca kebocoran dan langkah yang diambil susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights.

Pengerusi IKATAN Tan Sri Lee Lam Thye berkata siasatan serta langkah terbabit adalah penting bagi mencegah insiden serupa pada masa hadapan dan agensi itu, sebagai badan bukan kerajaan terkemuka bagi advokasi keselamatan, amat bimbang dengan kejadian tersebut. 

“Meskipun mengakui tindakan pantas Petronas dalam membendung situasi itu, kami menggesa langkah berjaga-jaga diteruskan bagi memastikan keselamatan komuniti dan persekitaran yang terjejas.  

“Kami turut menggesa Petronas dan pihak berkuasa berkaitan untuk memberikan kemas kini masa nyata mengenai situasi itu termasuk penilaian kualiti udara serta potensi risiko kesihatan dan pada masa sama, memastikan pemindahan menyeluruh selain bantuan kepada keluarga terjejas terutama golongan rentan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata IKATAN menghargai kerjasama Petronas setakat ini dan menekankan kepentingan komunikasi yang jelas dengan orang ramai kerana ketelusan serta akauntabiliti adalah kritikal bagi memulihkan kepercayaan selain melindungi masyarakat. 

Lee juga berkata IKATAN sedia menghulurkan bantuan dalam memantau situasi dan memberi nasihat bagi melindungi masyarakat yang terjejas serta menggesa semua pihak untuk mengutamakan nyawa dan alam sekitar.  

Terdahulu, Petronas mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utama gas milik Petronas Gas Bhd berhampiran Putra Heights, Puchong, Selangor pada 8.10 pagi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan