DUNIA

ADB Akan Salurkan Geran US$3 Juta Untuk Bantuan Gempa Bumi Myanmar

01/04/2025 07:35 PM

MANILA, 1 April (Bernama-Xinhua) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Selasa mengumumkan bahawa ia sedang menyediakan geran berjumlah US$3 juta bagi menyokong keperluan kecemasan dan kemanusiaan penduduk Myanmar yang terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.9 pada 28 Mac, lapor Xinhua.

Geran itu, yang sedang disiapkan untuk kelulusan segera oleh Lembaga Pengarah ADB, akan disalurkan melalui Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) bagi memenuhi keperluan segera. Bantuan itu merangkumi pengagihan makanan serta bantuan tunai pelbagai guna bagi pembelian barangan keperluan seperti air minuman, bekalan perubatan dan tempat perlindungan.

Geran ini akan diperuntukkan menerusi Dana Respons Bencana Asia Pasifik, yang menyediakan bantuan segera kepada anggota membangun ADB bagi tujuan menyelamatkan nyawa dalam tempoh kritikal selepas bencana besar yang dicetuskan oleh bahaya semula jadi.

ADB berkata gempa bumi ini telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang melanda Myanmar, sekali gus meningkatkan keperluan mendesak untuk menangani cabaran yang dihadapi rakyat negara itu.

Ketua Pengarah ADB bagi Asia Tenggara Winfried Wicklein berkata bank pembangunan pelbagai hala itu akan mempertimbangkan sokongan tambahan yang lebih besar dengan memanfaatkan sumber daripada tingkap pembangunan komuniti di bawah Tabung Pembangunan Asia 14.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan