AM

Kenyataan Rasis : Pejabat Menteri Perpaduan Negara Buat Laporan MCMC

01/04/2025 10:45 PM

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) --- Pejabat Menteri Perpaduan Negara telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kenyataan berunsur rasis dan provokatif yang dimuat naik oleh seorang individu di platform X.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Dagang berkata pihaknya berharap individu berkenaan disiasat dan diambil tindakan sewajarnya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kementerian Perpaduan Negara komited memastikan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia terus terpelihara. Oleh itu, sebarang bentuk kenyataan atau tindakan yang boleh menggugat perpaduan dan menyemarakkan kebencian tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak agar lebih beretika dalam penggunaan media sosial serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama,” katanya menerusi satu hantaran di platform X beliau.

Aaron turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama menolak sebarang bentuk ekstremisme, provokasi dan fitnah yang boleh menjejaskan keamanan negara.

Terdahulu, tular dua ciapan seorang pengguna X, @AmirRidhwann, bertarikh 5 Mac dan 26 Mac yang berunsur provokatif dan rasis terhadap masyarakat India.

Namun, semakan terkini mendapati hantaran itu telah dipadam.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan