SHAH ALAM, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu kediaman jangka masa sederhana kepada penduduk yang terkesan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia susulan proses baik pulih rumah-rumah yang terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor hari ini dijangka memakan masa agak panjang.
“Keutamaan kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan kini adalah keselamatan, kebajikan dan keselesaan semua penduduk yang terkesan,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.
Selain itu, Amirudin menggesa keluarga yang terkesan di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru untuk mendaftarkan diri bagi membolehkan mereka menerima bantuan.
“Saya menggesa mangsa membuat sedemikian dengan segera di Unit Pengurusan Bencana Negeri di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
“Sebanyak 180 penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru telah didaftarkan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dan sedang menerima tempat berteduh di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights,” katanya.
Amirudin berkata beliau dimaklumkan terdapat 78 rumah yang mengalami kebakaran teruk dan belum selamat didiami, manakala 10 rumah kedai musnah sepenuhnya.
“Mengikut analisis Pusat Kawalan Tempat Kejadian, 327 kenderaan turut musnah akibat api yang marak pagi tadi,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung punca sebenar kebocoran saluran gas serta letusan yang mengakibatkan kerosakan harta benda penduduk dengan skala begitu besar.
“Sesiapa yang mempunyai bukti dan maklumat berkenaan apa jua salah laku digesa untuk menyampaikan laporan itu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai proses siasatan ini.
“Di samping itu, saya mendoakan agar semua mangsa terutamanya mereka yang sedang dirawat di hospital pulih sepenuhnya, dan saya memberikan jaminan bahawa kepentingan penduduk akan menjadi keutamaan dalam menyelesaikan hal ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial