DUNIA

Musk Dinobatkan Manusia Terkaya Dunia 2025 Oleh Forbes

02/04/2025 12:23 AM

MOSCOW, 1 April (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Usahawan teknologi dan bilionair Amerika Syarikat (AS), Elon Musk, menggantikan taikun barangan mewah Perancis, Bernard Arnault, sebagai individu terkaya dunia bagi 2025, menurut senarai tahunan terbaharu Forbes yang diterbitkan pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Kekayaan bersih Musk dianggarkan berjumlah US$342 bilion. Beliau pertama kali menduduki tempat teratas pada 2022 sebelum kehilangan kedudukan itu pada 2023. Pada 2024, Musk meningkatkan kekayaannya sebanyak US$147 bilion - pertambahan 1.75 kali ganda dalam tempoh setahun, menurut anggaran Forbes.

Pengasas Meta, Mark Zuckerberg, berada di kedudukan kedua selepas menambah US$39 bilion kepada kekayaannya, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak US$216 bilion, kata Forbes.

Pengasas peruncit dalam talian Amazon, Jeff Bezos, mengekalkan tempat ketiga dengan kekayaan dianggarkan US$215 bilion selepas memperoleh tambahan US$21 bilion pada 2024, menurut data Forbes.

Kedudukan keempat dipegang oleh pengasas bersama gergasi perisian Oracle, Larry Ellison, dengan kekayaan bernilai US$192 bilion.

Sementara itu, Arnault, yang mengetuai konglomerat Moet Hennessy Louis Vuitton (LVMH), serta keluarganya menduduki tempat kelima dengan anggaran kekayaan US$178 bilion.

Forbes melaporkan jumlah bilionair global meningkat sebanyak 247 orang kepada 3,028, melepasi angka 3,000 buat kali pertama. Keseluruhan kekayaan mereka dianggarkan berjumlah US$16.1 trilion - peningkatan US$2 trilion berbanding 2024.

Purata kekayaan bilionair dalam senarai turut meningkat sebanyak US$200 juta kepada US$5.3 bilion. Amerika Syarikat mempunyai 902 bilionair, diikuti China (termasuk Hong Kong) dengan 516, dan India sebanyak 205, menjadikan lebih separuh daripada individu dalam senarai itu adalah warganegara tiga negara berkenaan.

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan