KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Ibarat medan perang, begitulah gambaran yang boleh diberikan terhadap lokasi sekitar Putra Heights, Subang Jaya yang terlibat dengan kebakaran saluran paip gas pada 8.10 pagi tadi.
Sambutan Hari Raya di saluran media sosial tidak lagi menjadi 'trending' pada hari kedua Aidilfitri.
Sebaliknya , gambar dan video insiden tersebut yang memaparkan kawasan perumahan diselubungi debu, pokok dan rumput hangus terbakar serta kenderaan yang musnah seperti dijilat api sekali gus mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam kebakaran itu yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTP) di Subang Jaya pada Selasa, beliau memaklumkan pemeriksaan rapi dan penilaian tahap keselamatan ke atas setiap unit yang terlibat dalam kebakaran akan bermula hari ini (Rabu) sebelum penghuni dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata seramai 325 anggota serta pegawai daripada 11 agensi terbabit dalam operasi pemadaman dan menyelamat yang mengambil masa lebih tujuh jam sebelum api berjaya dikawal pada pukul 3.34 petang.
Beliau juga memaklumkan bahawa kemungkinan berlakunya letupan susulan adalah sangat rendah kerana tiada aliran gas dikesan selepas penutupan empat injap utama di Kampung Lombong Puchong, Batu Tiga, Shah Alam dan Klang pagi tadi.
Bagaimanapun, pihak bomba juga akan terus bersiap siaga di kawasan terlibat untuk tempoh 20 jam akan datang bagi memantau atau menghadapi sebarang kemungkinan.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat tempat kejadian, mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya akibat kebakaran tersebut.
Beliau turut mengumumkan bantuan sebanyak RM2,500 kepada lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya rosak serta memaklumkan bahawa tanggungjawab memulihkan kawasan perumahan berkenaan akan diambil sepenuhnya oleh kerajaan bersama PETRONAS dan kerajaan negeri.
Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut meluangkan masa melawat mangsa kejadian yang menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang tiba pada 4.46 petang dan meluangkan masa kira-kira sejam untuk bertanya khabar kepada mangsa serta keluarga mereka yang hadir memberikan sokongan di wad berkenaan.
Menurut Kementerian Kesihatan seramai 100 mangsa menerima rawatan di beberapa hospital di sekitar Lembah Klang, setakat jam 6 petang terdiri daripada Hospital Putrajaya (14 orang), Hospital Sultan Idris Shah, Serdang (28 orang), Hospital Cyberjaya (25 orang), Hospital Ampang (seorang) dan Hospital Kajang (2 orang).
Sementara itu, 30 lagi mangsa dirawat di empat hospital swasta termasuk 22 orang di Subang Jaya Medical Centre, Hospital Thomson (seorang), Avisena Specialist Hospital (lima orang), dan Columbia Asia Hospital, Bukit Rimau (dua orang).
Bagi keluarga mangsa, selain bantuan perubatan, mereka juga memohon pihak berkaitan dapat memberikan bantuan keperluan asas seperti pakaian dan makanan kerana kebanyakan mereka melafrikan diri sehelai sepinggang.
Insiden yang menggegarkan negara ini turut memperlihatkan kebersamaan rakyat tanpa mengira kaum ditonjolkan apabila beberapa rumah ibadat dijadikan pusat rawatan sementara antaranya Kuil Sri Maha Kaliamman dan Masjid Al Falah USJ 9 manakala Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Heights dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam pada itu, syarikat insurans Takaful Malaysia dan Etiqa Malaysia meminta pelanggan yang terjejas akibat kebakaran itu untuk segera menghubungi mereka.
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan anggotanya turut menyarankan mereka yang terjejas serta mempunyai pinjaman untuk berhubung dengan bank masing-masing bagi membincangkan bentuk sokongan sewajarnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial