JITRA, 6 April (Bernama) -- Masyarakat diminta supaya memberi kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pasukan polis terlibat sejak awal tragedi berkenaan, dan sehingga kini mereka masih menjalankan siasatan.
“Saya sentiasa mendapat taklimat terkini dari semasa ke semasa daripada pihak polis… Biar polis lengkapkan siasatan mencakupi semua perkara.
“Usaha mengumpul bukti memerlukan penelitian dan disiplin siasatan yang baik. Jadi, saya ajak masyarakat berikan kepercayaan kepada pasukan polis untuk selesaikan tugas mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Menteri Dalam Negeri Bersama PDRM dan Jamuan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata dalam isu itu, masyarakat boleh membantu dengan cara tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi terutama di laman media sosial.
“Tiba-tiba muncul pakar-pakar oil and gas yang menganalisis sebab musabab bencana. Sementara mereka boleh berbuat demikian atas nama ruang kebebasan bersuara, cuma dalam kes siasatan polis, berikan kepercayaan kepada polis tanpa perlu terlibat dalam membuat sebarang kacau ganggu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata selain polis, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen juga melakukan tindakan awal dalam proses penggantian dokumen meliputi urusan penggantian kad pengenalan, sijil lahir, sijil perkahwinan dan dokumen lain yang rosak.
“Mereka (mangsa) tidak dikenakan bayaran dan kedua-dua agensi juga diminta untuk memastikan tiada yang tercicir kerana ini penting, menyusul selepas ini banyak lagi bantuan yang datang daripada pelbagai agensi yang memerlukan dokumen pengenalan diri sebagai tanda pengesahan,” katanya.
Beliau berkata dalam keadaan ada segmen masyarakat yang sedang diuji dengan bencana, semua pihak harus menunjukkan rasa simpati dan empati, di samping berusaha membantu menyelesaikan masalah mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial