JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Sesak Nafas Di Lenggong: Seorang Warga Indonesia Kritikal

07/04/2025 12:01 AM

IPOH, 6 April (Bernama) -- Seorang mangsa yang merupakan lelaki warga Indonesia berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Taiping dalam kejadian tiga lelaki maut akibat sesak nafas dalam lubang pembetung di Kampung Ibol, Sumpitan dekat Lenggong pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian lapan lelaki berusia antara 25 hingga 55 tahun yang mengalami sesak nafas di tangki kumbahan itu kira-kira pukul 10.05 pagi tadi.

Beliau berkata siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati tangki kumbahan tersebut dalam proses pembinaan dan dua mangsa telah dibawa keluar oleh pekerja lain yang berada di kawasan kejadian.

“Kedua-dua mangsa tersebut telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Lenggong, manakala dua lagi telah dihantar ke Klinik Lenggong dengan seorang mangsa meninggal dunia serta seorang lagi dihantar ke Hospital Taiping dalam keadaan kritikal.

“Empat lelaki yang membantu mengeluarkan mangsa mengalami sesak nafas dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zulkifli berkata mayat mangsa warga tempatan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Taiping, manakala satu lagi mayat mangsa warga Indonesia berusia 25 tahun dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk proses bedah siasat.

“Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada dua warga tempatan (masing-masing berusia 37 tahun dan 29 tahun) dan seorang warga Indonesia, manakala seorang lagi warga Indonesia berusia 31 tahun dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Taiping.

“Empat mangsa menerima rawatan susulan sebagai pesakit luar, iaitu dua warga Indonesia dan dua warga tempatan,” katanya.

Justeru, beliau berkata kematian ketiga-tiga mangsa disiasat sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Terdahulu, lapan orang pekerja tersebut menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan resort baharu di kampung tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan