MELAKA, 7 April (Bernama) -- Kemalangan jalan raya yang direkodkan sepanjang Op Selamat 24 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, menurun sebanyak 58 kes kepada 346 kes berbanding 404 kes pada Op Selamat 22 sempena perayaan berkenaan, tahun lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata jumlah kemalangan maut juga menurun kepada tiga kes berbanding lima kes, sementara kemalangan cedera parah menurun kepada lima kes berbanding tujuh kes dalam tempoh operasi yang sama.
“Bagaimanapun, jumlah pengeluaran saman kepada pengguna trafik yang melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya meningkat sebanyak 12 peratus kepada 2,784 saman berbanding 2,478 saman, juga bagi tempoh operasi sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata sepanjang Op Selamat 24 juga, pihaknya menerima sebanyak 428 pemakluman balik kampung pada tahun ini, berbanding 496 pemakluman tahun lepas.
Dzulkhairi berkata pemakluman tersebut diterima menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), talian MERS 999 dan secara manual menggunakan borang di balai polis berhampiran.
Selain itu beliau berkata sebanyak 1,663 rondaan juga dijalankan ke atas premis yang dimaklumkan ditinggalkan penghuni sepanjang Op Selamat 24 dan tiada jenayah pecah rumah membabitkan premis terlibat dilaporkan sepanjang tempoh itu.
“Rondaan berkenaan dijalankan anggota unit kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) dan rondaan patrol balai.
“Polis Melaka akan terus komited memastikan keselamatan serta ketenteraman awam rakyat sentiasa terjamin dan terima kasih diucapkan kepada orang awam atas kerjasama yang diberikan kepada anggota bertugas sepanjang Op Selamat 24 ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial