MERSING, 7 April (Bernama) -- Seorang lelaki warga India yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pulau Mawar di sini bersama rakan-rakannya ditemukan lemas petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata Narayanan Ravi, 45, ditemukan pada jarak 300 meter dari lokasi dia dipercayai lemas pada pukul 4.50 petang.
"Mangsa telah ditemukan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang kemudiannya bertindak menggunakan seunit tali bagi menarik mangsa ke darat," katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga Singapura Yogaraj Veeran, 37, ditemukan lemas dan telah dibawa ke pesisir pantai oleh orang awam, sementara seorang lelaki tempatan K Anpananthan, 39, berjaya menyelamatkan diri.
Mohd Alias berkata pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.37 petang sebelum sebuah jentera Light Fire Rescue Tender dan sebuah Toyota Hilux dengan kekuatan tujuh anggota digegaskan ke lokasi kejadian.
"Mayat kedua-dua mangsa yang datang dari Johor Bahru telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," tambahnya.
Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.21 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial