POLITIK

Lebih 110,000 Ahli Laksana Undian Pemilihan PKR Peringkat Cabang Hari Ini

12/04/2025 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Kira-kira 114,318 ahli PKR hari ini menunaikan tanggungjawab mereka untuk Pemilihan PKR di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang melibatkan negeri Selangor, Melaka dan Perlis.

Proses pemilihan pimpinan cabang di tiga negeri itu berjalan lancar dengan jangkaan pengumuman keputusan undian dibuat malam ini.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata kira-kira 98,000 ahli terlibat dalam proses pengundian bagi negeri berkenaan, dengan ramai antara mereka memilih menggunakan kaedah pengundian secara dalam talian kerana ia lebih memberi ruang sendiri untuk mengundi calon pilihan mereka.

“Kira-kira 98.5 peratus ahli dijangka membuat pemilihan calon secara dalam talian, manakala bakinya dibuat secara fizikal, mungkin membabitkan mereka yang kurang faham dengan sistem baharu atau pun warga emas.

“Setakat ini suasana pemilihan di Selangor berjalan dengan lancar dan kita jangka jika keadaan ini berterusan, mungkin di sebelah malam keputusan pemilihan hari ini akan diketahui,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Muhammad Asri Ibrahim pula berkata 11,318 ahli PKR di Melaka melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi calon pilihan mereka.

Beliau berkata ia membabitkan 3,558 pengundi bagi Cabang Hang Tuah Jaya, Alor Gajah (2,495), Tangga Batu (1,667), Melaka Tengah (1,627), Kota Melaka (1,200) manakala Jasin (771).

"Daripada 11,318 ahli itu, 94 pengundi akan melaksanakan pengundian secara fizikal di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) kerana membabitkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) manakala selebihnya secara dalam talian.

"Pemilihan pada pagi ini berjalan lancar setakat ini kerana pemilihan dilaksanakan secara dalam talian dan kita menjangkakan keputusan pemilihan diumumkan seawal 7 malam selepas proses pengundian ditutup pada 5 petang ini," katanya.

Sementara itu Pengerusi MPN PKR Perlis Noor Amin Ahmad memberitahu hampir 5,000 ahli akan membuat pemilihan cabang PKR negeri itu secara dalam talian serta fizikal. Pemiloihan secara fizikal berlangsung berlangsung di sebuah hotel di Kangar.

“Pemilihan cabang Perlis yang melibatkan Kangar, Arau dan Padang Besar berlangsung dengan baik, meskipun terdapat isu teknikal, ia tidak menjejaskan keseluruhan proses,” katanya.

Pemilihan bagi jawatan PKR di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang ditetapkan bermula semalam hingga 20 April.

Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan pula akan diadakan pada 24 Mei ini.

Sementara itu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Alor Setar dalam pemilihan PKR bagi Cabang Kedah, semalam.

Berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR hari ini, Chan yang juga bekas Ahli Parlimen Alor Setar mendapat 932 undi mengatasi pencabarnya Ang Say Thong yang mendapat 471 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Bagi jawatan timbalan pula, Datuk Zamri Yusuf yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Cabang itu, menang selepas memperoleh 768 undi mengatasi pencabarnya Fadhlurrahman Zawawi yang mendapat 621 undi.

Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Arang Loh Wei Chai pula masing-masing menang tanpa bertanding, masing-masing bagi jawatan Ketua dan Timbalan Ketua Cabang Sungai Petani.

Pemilihan AMK Kedah diadakan semula hari ini selepas proses pengundian semalam dibatalkan kerana masalah teknikal pada aplikasi pengundian setelah sistem tidak dapat mengenal pasti tarikh lahir anggota berumur 35 tahun dan ke bawah.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan