PETALING JAYA, 12 April (Bernama) -- The Malaysia Airlines We Built, sebuah naskhah penghormatan kepada legasi Malaysian Airlines System (MAS), laris sebelum pelancaran rasminya, dengan lebih 500 buah terjual melalui prapesanan.
Buku dengan hasil karya lebih 70 bekas petugas yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu hingga 2015, mengisahkan era kegemilangan MAS melalui kisah peribadi, pandangan sejarah dan refleksi tentang misi bersama untuk mengubah ia menjadi syarikat penerbangan bertaraf dunia.
Pelancaran buku itu disempurnakan oleh bekas Timbalan Pengerusi MAS Tan Sri Sulaiman Sujak, diiringi bekas Pengarah Urusan MAS Datuk Kamaruddin Ahmad di Kelab Golf Negara Subang, Kelana Jaya di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri bekas Naib Presiden Eksekutif (Kewangan Kumpulan) MAS S. Suppiah dan bekas petugas MAS.
Buku berkenaan menjejaki perjalanan MAS sejak ditubuhkan pada 1 Okt 1972, mengetengahkan pengorbanan dan dedikasi pasukan perintis dalam membina syarikat penerbangan itu.
Ia memaparkan pandangan mengenai cara kerja penerbangan tempatan itu membangunkan sebuah syarikat yang pernah terbang merentasi enam benua dan menjadi ikon negara yang mendapat anugerah peringkat antarabangsa selama bertahun-tahun.
Persatuan Pesara Penerbangan Malaysia (MASRA) memaklumkan bakat tempatan ini merupakan tulang belakang yang berdedikasi menyokong aspirasi negara untuk membangunkan MAS menjadi syarikat bertaraf dunia, mengatasi jangkaan rakyat Malaysia dan komuniti penerbangan global.
"Para profesional tempatan ini kemudian mendapat permintaan tinggi daripada banyak organisasi berkaitan penerbangan, pengalaman mereka dalam MAS amat diiktiraf dan dihormati secara meluas.
"Pengiktirafan ini juga ialah bukti kepada komitmen syarikat penerbangan bagi memenuhi aspirasi negara untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk industri berat, dan kejayaan perintis ini menjadi pemangkin kepada penubuhan industri lain di negara ini," menurut MASRA dalam kenyataan.
Orang ramai yang ingin membeli buku berkenaan boleh menghubungi MASRA secara terus.
Terdahulu dalam ucapannya, Suppiah, yang mengetuai pasukan projek buku ini, mengimbau ketika awal penubuhan MAS yang disifatkannya sebagai sukar dan penuh pengorbanan, namun keinginan pasukan untuk belajar membawa kepada kejayaan mereka.
"Syarikat penerbangan lain secara terbuka mengakui bahawa MAS menghasilkan beberapa juruterbang terbaik, jurutera penyelenggaraan pesawat dan kru kabin dengan sentuhan emas.
"Semoga pengalaman yang dikongsikan dalam buku ini akan memberi manfaat kepada generasi akan datang, walaupun kita menyedari bahawa perubahan perlu dibuat dalam beberapa bidang agar seiiring dengan kemajuan teknologi dalam industri dan bidang berkaitan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial