AM

Pelancong Ke Malaysia Meningkat Kepada 6.7 Juta Pada Januari-Februari

13/04/2025 03:28 PM

SANDAKAN, 13 April (Bernama) -- Kedatangan pelancong ke Malaysia meningkat sebanyak 31.3 peratus kepada 6.7 juta orang bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Beliau berkata Singapura kekal menjadi negara penyumbang utama pelancong ke Malaysia dengan 3.1 juta orang, diikuti China, Indonesia, Thailand dan Brunei.

“Tahun lepas, Malaysia merekodkan kedatangan 38 juta pelancong, peningkatan ketara 31.1 peratus berbanding 29 juta pada 2023, juga melepasi rekod prapandemik COVID-19 iaitu 35 juta kedatangan pelancong pada 2019 dengan peningkatan 8.3 peratus.

“Pasaran utama yang menyumbang kepada kedatangan pelancong ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Batu Sapi itu berkata jumlah pendapatan pelancongan mencapai RM106.78 bilion tahun lepas, mencatatkan pertumbuhan yang ketara sebanyak 43.7 peratus pada 2023 dan melebihi paras 2019 sebanyak 20 peratus.

Sementara itu, Khairul Firdaus berkata Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) telah melancarkan brosur direktori terbaharu - “A Guide to Sandakan” sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam mempromosikan pelancongan ke Sabah selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Beliau berkata “A Guide to Sandakan” menyenaraikan pelbagai tarikan, menyajikan gabungan mempesonakan landskap alam semula jadi yang menakjubkan, kepelbagaian flora dan fauna, aktiviti pengembaraan, pengalaman kekayaan budaya serta hidangan tempatan.

Ia boleh diperoleh di lapangan terbang dan diedarkan melalui agensi pelancongan bagi memastikan akses yang mudah kepada pelancong.

“Daripada berinteraksi dengan orang utan di habitat semula jadi hingga mendekati Beruang Matahari Borneo, maskot TMM2026, Sandakan menawarkan gabungan pengalaman unik bertemu hidupan liar dan pengembaraan. Ditambah dengan hidangan tempatan dan makanan laut segar, ia adalah pintu masuk unggul untuk meneroka Sabah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan