AM

Tun Abdullah Diberi Istiadat Pengebumian Negara

15/04/2025 01:38 AM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Jenazah Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.

Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan jenazah akan dibawa ke Masjid Negara pada 8 pagi dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir di Dewan Solat Utama, Masjid Negara bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari. 

"Jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu di sini, malam ini.

Menurut JPM pakaian bagi pelawat lelaki Islam adalah baju kebangsaan berwarna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak serta bersongkok hitam dan ‘lounge suit’ gelap bagi bukan Islam.

Pakaian bagi pelawat wanita Islam pula adalah baju kurung/kebaya labuh warna gelap dengan selendang/tudung putih manakala bagi bukan Islam pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih. 

"Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai," menurut JPM.

JPM juga memaklumkan bahawa semua bangunan di dalam jarak radius dua kilometer daripada Masjid Negara hendaklah mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga selesai istiadat pengebumian.

Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya hari ini pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada pukul 7.10 malam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan