KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi semalam meninggalkan kesan mendalam kepada negara, khususnya dalam mengenang sumbangan Allahyarham terhadap kepimpinan yang berteraskan nilai, integriti dan pendekatan berhemah.
Memegang tampuk pemerintahan selama enam tahun, Allahyarham yang dikenali mesra sebagai "Pak Lah" telah memperkenalkan slogan ikonik "Cemerlang, Gemilang, Terbilang", yang bukan hanya menjadi lambang pentadbirannya, malah turut mencerminkan aspirasi Allahyarham terhadap kemajuan negara dalam segenap bidang – pendidikan, teknologi, sains, pertanian dan pembangunan insan.
“Apabila kita berjaya mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang, walau sekecil manapun bilangan kita, walau sebesar manapun perhimpunan, walau di bumi mana kita berada, walau di bawah langit mana kita bernaung, kehadiran kita akan dirasai dan diberi penghormatan,” begitulah petikan ucapan beliau ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO ke-56 pada 2005.
Tidak mengamalkan pendekatan keras atau populis, Abdullah memilih jalan membangunkan negara melalui kekuatan modal insan yang menekankan pendidikan, etika dan minda progresif sebagai kunci masa depan negara dan atas sumbangan itu, Allahyarham diangkat sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.
Di bawah pentadbiran Perdana Menteri kelima itu, institusi pengajian tinggi dan kolej swasta berkembang pesat manakala sekolah dan pusat latihan perguruan diperhebat. Allahyarham percaya bahawa generasi muda yang dibekalkan dengan kemahiran serta nilai murni akan menjadi aset negara dalam dunia yang semakin kompetitif.
Hal ini sekali gus menghindarkan Malaysia daripada dilabel sebagai negara yang memiliki "infrastruktur kelas pertama", tetapi "mentaliti kelas ketiga".
Allahyarham juga terkenal dengan pendekatannya yang bersederhana, terbuka dan memilih untuk mentadbir dengan gaya tersendiri – tenang dan penuh hikmah.
“Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama saya,” itulah antara kata-kata keramat yang diucap Pak Lah pada awal pentadbirannya yang jelas mahu rakyat, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik bekerja bersama-sama beliau membangunkan negara.
Mengulas "gaya" pentadbiran Allahyarham, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata Abdullah tidah menggunakan pendekatan "menekan", sebaliknya memberi ruang kepada pemimpin dan rakyat untuk menyerlahkan potensi mereka dalam membangunkan negara.
“Itulah maksud cemerlang. Apabila rakyat menunjukkan kecemerlangan bersama pemimpin, dari situ lahir gemilang apabila negara maju ke hadapan dan akhirnya terbilang apabila kejayaan itu menjadikan negara masyhur. Kesemua ini ada makna tersendiri dan moto ini untuk memberi motivasi kepada rakyat agar dapat dirangsang ke arah dimahukan,” katanya.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata penekanan kepada pembangunan modal insan yang dititikberatkan sepanjang pentadbiran Abdullah ialah perkara yang wajar dikenang.
“Dalam usaha membangunkan sesebuah negara, yang utama bukanlah mesin, bangunan, jalan raya atau prasarana semata-mata, tetapi insan itu sendiri. Bukan modal wang yang menjadi keutamaan, sebaliknya modal insan, iaitu nilai peribadi, sahsiah dan karakter yang membentuk jiwa negara.
“Itulah yang sering ditekankan oleh Allahyarham sepanjang kepimpinannya bahawa hanya dengan modal insan yang berkualiti barulah negara benar-benar mampu mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.
Abdullah membuka tirai pentadbirannya dengan menonjolkan sisi tegas beliau apabila melancarkan Pelan Integriti Nasional dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia, dengan matlamat memupuk budaya integriti dalam masyarakat serta menambah baik tadbir urus negara.
"Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan, tetapi muflis dari segi nilai moral, etika dan integriti," katanya dalam ucapan bersempena dengan pelancaran institut integriti berkenaan.
Kegigihan Allahyarham memerangi rasuah turut dibuktikan dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2008 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR), untuk memastikan institusi pencegahan rasuah lebih bebas, telus dan profesional.
Komitmen terhadap ketelusan pula diterjemahkan antaranya melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia bagi memperbaik pengurusan institusi itu.
Slogan Cemerlang, Gemilang, Terbilang bukan sekadar kata-kata, tetapi juga ialah prinsip hidup dan pentadbiran Pak Lah yang kini menjadi warisan abadi untuk generasi akan datang.
Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi pada usia 85 tahun selepas mengalami sesak nafas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial