AM

Tun Abdullah Berjiwa Besar, Sentiasa Dengar Keluhan Penjawat Awam - CUEPACS

15/04/2025 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin berjiwa besar, penyabar dan sentiasa mendengar keluh-kesah penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat berkata Perdana Menteri kelima itu telah membawa perubahan besar dalam meningkatkan kesejahteraan dan motivasi penjawat awam di seluruh negara. 

“CUEPACS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Allahyarham Tun Abdullah atas jasa dan sumbangan beliau yang amat besar kepada penjawat awam semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima,” katanya dalam satu kenyataan.

Adnan berkata antara pencapaian utama Tun Abdullah yang amat dihargai warga perkhidmatan awam adalah kenaikan gaji penjawat awam pada 2007, lanjutan umur persaraan wajib dan pelaksanaan kenaikan pangkat secara khas untuk penyandang (KUP).

“Pada 2007, di bawah kepimpinan Tun Abdullah, kerajaan mengumumkan kenaikan gaji bagi lebih satu juta penjawat awam hingga 35 peratus, berkuat kuasa 1 Julai 2007. Kumpulan sokongan menikmati kenaikan tertinggi sebanyak 35 peratus, manakala kumpulan tertinggi menerima kenaikan sebanyak 7.5 peratus.

“Pada Mei 2008, kerajaan melanjutkan umur persaraan wajib penjawat awam daripada 56 kepada 58 tahun, berkuat kuasa 1 Julai 2008. Langkah ini diambil setelah mengambil kira jangka hayat rakyat Malaysia dan memastikan peluang pekerjaan bagi graduan baharu tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata bagi pelaksanaan KUP, kerajaan memperkenalkan sistem itu bagi memberi peluang kepada penjawat awam yang telah lama berkhidmat untuk menikmati kenaikan pangkat tanpa perlu menunggu kekosongan jawatan.

Adnan turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Tun Abdullah, yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi.

Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan