AM

Tun Abdullah Disifatkan Sebagai Bapa - Bekas Setiausaha Akhbar

15/04/2025 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Sifat penyayang dan kelembutan budi bicara Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadikan beliau bukan sekadar seorang pemimpin malah disifatkan sebagai bapa oleh setiap pegawainya.

Bekas Setiausaha Akhbar Perdana Menteri kelima itu, Izad Raya berkata sepanjang enam tahun berkhidmat dengan Tun Abdullah, tidak pernah beliau melihat pemimpin itu meninggikan suara apabila menegur sesiapa.

“Bahasanya sangat lembut, tak ada langsung pemilihan perkataan yang mengguris hati. Waktu beliau menegur dan menasihat, kita tidak akan rasa tersinggung atau rasa kecil hati,” katanya ketika ditemui di Masjid Negara di sini hari ini.

Beliau berkata kepimpinan Tun Abdullah sentiasa dikenang kerana kesabaran, ketenangan dan kemuliaan hati dimiliki pemimpin itu malah tidak pernah melenting walaupun menerima maklum balas negatif.

“Kalau perkara itu mungkin terlalu mengguris hati beliau, Tun akan diam dan teruskan dengan kerja yang sedang dilakukan,” katanya.

Seorang lagi bekas pembantu Tun Abdullah, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata beliau menerima banyak mesej sejurus sebelum waktu maghrib pada Isnin dan masih sukar untuk menerima berita pemergian itu.

“Pak Lah tidak pernah mengejar populariti. Kepimpinannya bukan berpaksikan ego atau cita-cita, tetapi bersandarkan keikhlasan dan nilai moral,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata Abdullah sangat terkesan dengan retorik politik yang memecah-belahkan dan sering mengingatkan supaya tidak meniupkan api ketegangan kaum dan agama dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Bagi Teoh Ai Hua yang pernah bertugas sebagai setiausaha akhbar Tun Abdullah hingga 2013 turut  berkongsi kenangan merakamkan gambar beliau di Seri Perdana pada malam sebelum pelancaran Rancangan Malaysia Kesembilan.

“Gambar itu paling saya suka. Ia menunjukkan insan yang saya kenali seorang yang tenang dan sangat berdedikasi kepada negara,” tulisnya di Facebook.

Tun Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi, selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang hari ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan