AM

Rapid Kl On-Demand Tambah Dua Zon Baharu, Perluas Satu Zon Mulai Khamis Ini

15/04/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT bakal memperkenalkan dua zon laluan baharu bagi perkhidmatan ‘Rapid KL On-Demand’ bermula Khamis ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, syarikat itu memaklumkan dua zon itu membabitkan Terminal Puchong Utama-Puchong Prima, warga sekitar akan menikmati lebih banyak pilihan pengangkutan ke kawasan sekitar selain memudahkan lagi sambungan perjalanan ke Stesen Puchong Perdana.  

“Bagi penduduk di sekitar Balakong, Rapid KL On-Demand di zon MRT Bandar Tun Hussein Onn-Taman Desa Baiduri memberikan manfaat kepada penduduk sekitar untuk meneruskan perjalanan dengan kesalinghubungan ke perkhidmatan rel Rapid KL,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan satu zon sedia ada iaitu Asia Jaya akan diperluaskan kawasan liputan bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang juga akan bermula Khamis. 

Bagi zon Asia Jaya, ia akan dijenamakan sebagai zon PJ Sentral-Seksyen 7 dan 17, merupakan penambahbaikan serta penggantian laluan T786B (LRT Asia Jaya-MRT Phileo Damansara).

Dalam kenyataan sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria berkata untuk semua zon baharu yang akan dilancarkan pada 17 April ini, sejumlah 10 buah van akan digunakan dalam operasi harian.

“Penetapan jumlah van bagi setiap lokasi adalah berbeza mengikut kajian serta keperluan bagi kawasan tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, hingga Mac lepas perkhidmatan Rapid KL On-Demand telah beroperasi di 37 zon sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang dengan kadar purata pengguna harian direkodkan seramai 4,753 orang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan