AM

Malaysia, Korea Selatan Setuju Tubuh Jawatankuasa Kerja Perkukuh Kerjasama Pendidikan Tinggi

15/04/2025 09:01 PM

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Malaysia dan Korea Selatan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata jawatankuasa itu akan turut menggerakkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan kedua-dua negara sebelum ini.

“Ini termasuk pelaksanaan program mobiliti pelajar dan pensyarah, penglibatan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia, Politeknik serta Kolej Komuniti dalam kolaborasi teknikal, dan penglibatan syarikat multinasional Korea dalam pelaksanaan program ’Work-based Learning’ (WBL) di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata perkara berkenaan dipersetujui ketika pertemuan dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Korea Selatan Dr Lee Ju-ho yang diadakan sempena edisi kedua Persidangan Antarabangsa Human Capability Initiative (HCI 2025) pada 13 hingga 14 April lepas.

Mengulas mengenai HCI 2025, beliau berkata penyertaan Malaysia dalam persidangan berprestij di bawah naungan Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mahkota Muhammad Bin Salman itu melambangkan pengiktirafan kepada peranan negara dalam pembangunan keupayaan insan di peringkat global.

Bertemakan “Beyond Readiness”, persidangan berkenaan menghimpunkan lebih 12,000 peserta dan 300 jurucakap dari lebih 100 negara.

Zambry berkata beliau telah berkongsi mengenai inisiatif utama Malaysia dalam mendepani era kecerdasan buatan (AI) ketika Perbincangan Meja Bulat Menteri yang menghimpunkan menteri-menteri pendidikan tinggi dari lebih 20 negara.

“Saya turut menekankan pentingnya nilai etika dan kemanusiaan dikekalkan dalam kemajuan teknologi supaya pembangunan yang berlaku bersifat seimbang dan inklusif,” katanya.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Arab Saudi Dr Yousef Abdullah Al-Benyan bagi membincangkan kolaborasi antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam program perkongsian tenaga mahir serta teknologi terkini dalam bidang pendidikan tinggi.

Sebagai sebahagian daripada agenda utama HCI 2025, Zambry juga berkongsi mengenai anjakan yang bakal dilakukan dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035.

“Kita juga memperkenalkan konsep ‘unbundling’ iaitu pemecahan struktur program akademik kepada komponen kecil seperti ‘micro-credentials’, kursus individu, modul pembelajaran, latihan industri, dan projek.

“Ini sesuatu yang mungkin baharu dan boleh berkongsi dengan negara-negara lain,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan