DUNIA

Kazanforum 2025: Rusia Makin Terbuka Untuk Pembiayaan Islam - Apa Yang Menanti Malaysia?

16/04/2025 01:52 PM

Mengolah headline

 

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Pasaran Rusia kini menjadi semakin mudah diakses. Sejak tahun 2023, satu eksperimen dalam pembiayaan perkongsian telah berjaya dijalankan di beberapa wilayah Persekutuan Rusia.

Satu mekanisme baharu bagi menarik pelaburan dari dunia Islam telah muncul. Kini, eksperimen itu dirancang untuk diperluas dan dilanjutkan sehingga musim luruh 2028.

Pada awal tahun 2025, diketahui bahawa Parlimen Rusia bercadang untuk melanjutkan eksperimen berkenaan selama tiga tahun lagi, serta memperluas senarai transaksi yang dibenarkan di bawah undang-undang Syariah, termasuk kemungkinan perlindungan insurans harta secara bersama.

Perubahan itu dijangka akan meningkatkan daya tarikan instrumen pembiayaan perkongsian, termasuk untuk pelabur dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang turut melibatkan Malaysia.

Maklumat itu adalah berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh perkhidmatan akhbar luar Forum Ekonomi Antarabangsa "Rusia - Dunia Islam: KazanForum 2025".

Mari kita selusuri lebih lanjut tentang kesediaan dan apakah yang menanti Malaysia.

 

Kepentingan untuk Malaysia

 

Menurut Ketua Agensi Pembangunan Pelaburan Tatarstan, Talia Minullina, jumlah transaksi perbankan Islam meningkat lebih dua kali ganda tahun lepas dan eksperimen itu sedang berkembang serta berkemungkinan menjadi amalan tetap.

Tatarstan adalah satu daripada empat wilayah dalam Persekutuan Rusia yang menjalankan eksperimen berkenaan.

Ini adalah penting bagi Malaysia, di mana program pembiayaan dan pelaburan perkongsian, menurut pakar, biasanya direka untuk tempoh jangka panjang sehingga 7 hingga 10 tahun.

 

Potensi Pelaburan yang Diunjurkan

 

Secara keseluruhan, jumlah pelaburan dalam projek-projek di Rusia melalui format pembiayaan Islam dianggarkan melebihi US$10 bilion.

Dalam tempoh dua tahun akan datang, pakar menjangkakan pertumbuhan sebanyak sepuluh kali ganda dalam bidang itu.

“Untuk bekerjasama dengan pelabur dari negara-negara OIC, adalah sangat penting untuk membentuk pasaran pertukaran di Rusia, supaya penerbit besar boleh memasuki pasaran dan mengeluarkan pelbagai instrumen dengan pelbagai pendekatan dalam rangka undang-undang Rusia yang sedia ada.

“Apabila mekanisme ini berfungsi dan piawaian yang jelas ditetapkan, akan terdapat lebih banyak pelaburan,” kata Minullina.

 

Pembangunan Modal Insan

 

Untuk membangunkan pasaran pelaburan baharu itu, wilayah-wilayah Rusia telah memperkukuh latihan bagi pakar-pakar seperti financiers, peguam dan pengurus.

Tenaga kerja dilatih melalui kerjasama dan mengikut piawaian AAOIFI - Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam yang berpusat di Bahrain.

Matlamat AAOIFI adalah untuk mengekalkan dan mempromosikan piawaian Syariah bagi institusi kewangan Islam.

Usaha itu kini semakin dipertingkatkan di Rusia dan satu platform pelaburan halal sepenuhnya sedang disediakan untuk pelancaran.

Ia akan mematuhi piawaian AAOIFI dan dikendalikan oleh pakar kewangan Islam.

Projek itu sedang dilaksanakan bersama dua dana dari negara Arab dan bertujuan untuk membiayai syarikat permulaan berpotensi di Rusia dan Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS).

Pelabur berpotensi akan dapat memperoleh bahagian daripada keuntungan masa depan berdasarkan prinsip Syariah, manakala syarikat pula boleh menarik dana rakan kongsi dan menerbitkan setara bon Islam - sukuk.

Kini, platform berkenaan dalam proses pendaftaran dan pelancarannya dijadualkan pada Mei 2025.

Selain itu, pada tahun 2025, AAOIFI buat pertama kalinya akan mengadakan persidangan antarabangsa di Rusia dengan tema: “Kewangan dan Pelaburan Islam: Memacu Pembangunan Mampan dan Perkongsian Global” dalam rangka KazanForum 2025.

 

Kewangan Islam sebagai Pemangkin Perdagangan

 

Pembangunan kewangan Islam juga akan memberi kesan positif terhadap perdagangan.

Jumlah dagangan Rusia dengan negara-negara Dunia Islam bagi sembilan bulan pertama tahun 2024 mencecah US$106 bilion.

Daripada jumlah itu, US$5.9 bilion, pertumbuhan 40 peratus tahun ke tahun, disumbangkan oleh wilayah Tatarstan, yang merupakan wilayah paling aktif dan berjaya dalam pelaksanaan kewangan Islam, mendahului Persekutuan Rusia dari segi jumlah transaksi pembiayaan perkongsian.

Wilayah itu dijangka menjadi jambatan penghubung antara Rusia dan negara-negara OIC.

“Dalam dua atau tiga tahun kebelakangan ini, bukan sahaja angka dagangan meningkat, tetapi juga bilangan transaksi antara Rusia dan negara-negara OIC,” kata Setiausaha Agung Majlis Am untuk Bank-Bank dan Institusi Kewangan Islam (CIBAFI) Abdelilah Belatik, semasa pembukaan program latihan mengenai pembiayaan perkongsian di Kazan, pada Februari 2025.

Menurut beliau, negara-negara itu termasuk Turkiye, Emiriah Arab Bersatu, negara-negara Teluk, serta Malaysia dan Indonesia.

 

Peranan Strategik Malaysia

 

Perkembangan kewangan Islam di Persekutuan Rusia dalam masa terdekat dijangka akan mengangkat hubungan ekonomi dengan negara-negara Selatan Global ke tahap baharu.

Malaysia dijangka menjadi antara peserta utama dalam pasaran baharu itu, sebagai negara peneraju dalam pegangan aset bank Islam global dan antara negara terbesar dari segi jumlah aset kewangan Islam.

Kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan Rusia dalam sektor kewangan Islam telah diumumkan pada musim luruh 2024 oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, ini merupakan antara bidang dalam hubungan dua hala Malaysia-Rusia yang telah lama tertangguh dan kini wajar dilaksanakan.

 

Bidang Kerjasama Masa Hadapan

 

Antara bidang baharu yang berpotensi untuk kerjasama masa depan ialah pelaburan bersama yang melibatkan kewangan Islam dalam aset syarikat-syarikat Rusia dan asing.

Rusia kini sedang giat membangunkan "industri halal" - iaitu pengeluaran produk dan perkhidmatan yang mematuhi piawaian Islam.

Beberapa produk berpotensi untuk dieksport ke negara-negara OIC, termasuk Malaysia.

Di wilayah Tatarstan sahaja, terdapat lebih daripada 100 industri halal, dengan lebih 20 daripadanya berorientasikan eksport.

Bidang lain termasuk pembangunan gaya hidup halal – seperti pelancongan halal, pengeluaran halal, fesyen, kewangan, IT dan media – serta dalam bidang perubatan dan pendidikan halal.

Negara-negara OIC, termasuk Malaysia boleh menawarkan kepakaran dalam bidang-bidang berkenaan.

 

KazanForum 2025 Sebagai Acara Utama

 

Forum Ekonomi Antarabangsa ke-16 "Rusia - Dunia Islam: KazanForum 2025" akan memperlihatkan bagaimana projek-projek bersama dalam pembiayaan perkongsian boleh dibangunkan pada Mei 2025.

Forum itu akan berlangsung di Kazan selama enam hari bermula 13 Mei, 2025.

Pihak yang berminat boleh mendaftar untuk penyertaan pakar di forum itu melalui pautan https://reg.kazanforum.ru/en/registration.

Sementara itu, akreditasi untuk wakil media boleh dibuat di laman sesawang rasmi KazanForum sebelum 20 April 2025 di pautan https://reg.kazanforum.ru/en/registration/media.

Matlamat forum itu adalah untuk mengukuhkan hubungan dagang dan ekonomi, saintifik dan teknikal, pendidikan, sosial dan budaya antara wilayah-wilayah Persekutuan Rusia dan negara-negara OIC, yang merangkumi 57 buah negara.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan