KOTA KINABALU, 16 April (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dimaklumkan bahawa Kementerian Kerja raya Sabah (KKRS) telah menetapkan langkah mitigasi banjir sebagai keutamaan dalam perancangan dan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, bagi memastikan projek berkenaan tidak menjejaskan sistem saliran atau menjadi punca kejadian banjir.
Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Jury berkata beberapa langkah telah dilaksanakan sebelum pembinaan antaranya melibatkan perancangan dan reka bentuk jajaran, simulasi banjir dan penilaian risiko dan reka bentuk jalan bertingkat di Beaufort.
“Sepanjang fasa pembinaan, beberapa langkah telah dilaksanakan bagi mengurangkan impak banjir termasuk penyelenggaraan saliran perparitan sementara dan baharu, serta penambahbaikan reka bentuk perparitan,” katanya di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Dr Daud Yusof (Warisan-Bongawan) yang ingin tahu mengenai usaha kerajaan memastikan tidak berlaku banjir setiap kali hujan lebat di kawasan rendah yang berkaitan dengan projek melibatkan projek Lebuhraya Pan Borneo.
Limus berkata perancangan dan reka bentuk jajaran Lebuhraya Pan Borneo telah melalui proses penilaian yang teliti dan mendapat kelulusan daripada agensi Kerajaan yang berkaitan, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah.
“Selain itu, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah turut memainkan peranan penting termasuklah kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan simulasi banjir yang dijalankan sebelum pelaksanaan projek,” katanya.
Menurut Limus, kontraktor projek itu juga bertanggungjawab untuk memastikan saliran sementara dan saliran baharu yang dibina tidak terhalang oleh kelodak, sampah atau tumbuhan, dengan pemantauan dan penyelenggaraan rutin telah dilaksanakan bagi memastikan aliran air sentiasa lancar.
“Pasukan pelaksana projek juga telah mengambil inisiatif untuk menambah baik reka bentuk asal perparitan sepanjang sempadan kerja projek Lebuhraya Pan Borneo, berdasarkan keperluan semasa dan keadaan di lapangan. Ini bertujuan memperbaiki sistem saliran dan mengurangkan risiko banjir,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial