KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kepercayaan bahawa Malaysia dan China akan terus memperkasa kerjasama kedua-dua negara, walaupun wujud pelbagai jurang geopolitik di seluruh dunia.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah Malaysia menitikberatkan integrasi ekonomi yang lebih mendalam, pengukuhan kolaborasi rantaian bekalan dan perindustrian, peningkatan ketersambungan, serta menegakkan prinsip hormat dan manfaat bersama dalam penglibatan dengan semua rakan kongsi termasuk China.
“Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China untuk meneroka peluang di sini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China.
“Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara lokasi pelaburan utama rantau ini,” titah Sultan Ibrahim.
Menurut hantaran tersebut Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika berucap pada pertemuan bersama Presiden China Xi Jinping di Istana Negara di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim turut berkenan menjemput Kerajaan China untuk mempromosikan pertukaran bahasa antara kedua-dua negara.
Seri Paduka Baginda bertitah jumlah pertukaran pelajar antara kedua-dua negara telah meningkat dan Malaysia berhasrat untuk menghantar lebih ramai penuntut ke China untuk bertukar ilmu dan kebudayaan.
“Saya percaya bahasa adalah jambatan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala. Ke arah ini, saya berhasrat untuk giat mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU),” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu Presiden Xi diberi sambutan negara di Istana Negara sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula semalam atas jemputan Sultan Ibrahim.
Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Lawatan oleh Xi adalah sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Presiden China itu pada tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.
Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.
Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.
Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial