AM

Sultan Pahang Berkenan Lancar Alam Mindscape Sdn Bhd

16/04/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melancarkan Alam Mindscape Sdn Bhd, yang merupakan penjenamaan semula anak syarikat EDOTCO Malaysia, Touch Mindscape Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EDOTCO Adlan Tajudin menyifatkan penjenamaan semula anak syarikat itu sebagai simbol komitmen baharu syarikat untuk mempercepat pembangunan infrastruktur digital yang inklusif dan mampan di Pahang.

“Nama Alam Mindscape dipilih bukan sahaja kerana keindahan semantiknya, tetapi juga sebagai refleksi komitmen kami terhadap pembangunan yang moden, progresif dan berlandaskan kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Alam Mindscape Sdn Bhd dan Sambutan Aidilfitri EDOTCO Wilayah Timur di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah yang juga Pengerusi Shahzan Alam Muda Sdn Bhd.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sebagai peneraju penyedia infrastruktur digital di Pahang, Adlan berkata Alam Mindscape akan memberi tumpuan dalam aspek memperluas liputan 4G ke kawasan luar bandar dan pedalaman, di samping membangunkan infrastruktur 5G untuk menyokong pelaburan digital bernilai tinggi.

“Alam Mindscape bukan sekadar nama baharu, ia pemangkin untuk perubahan sebenar. Kami berazam untuk menjadikan Pahang lebih inklusif dan terhubung. Langkah ini juga memperkukuh sokongan kami terhadap agenda transformasi digital negara dan aspirasi negeri untuk menjadi peneraju ekonomi digital negara,” katanya. 

Pada majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut menyaksikan pemeteraian tiga kerjasama strategik yang bakal mempercepat agenda digital di negeri itu. 

Kerjasama strategik itu membabitkan usaha sama antara Alam Mindscape, Shahzan Alam Muda dan kerajaan Pahang melalui penggunaan ‘Network & Planning Analytics (NaPA)’  yang merupakan platform perancangan rangkaian berasaskan data untuk pengoptimuman lokasi dan liputan rangkaian 4G dan 5G.

Selain itu, baginda turut menyaksikan kerjasama antara U Mobile dan Alam Mindscape bagi memperluas liputan 5G berkualiti tinggi ke seluruh negeri dan usaha sama platform pendidikan dalam talian, Gnius untuk menyediakan akses pembelajaran digital kepada pelajar keluarga B40 dengan menjadikan Internet sebagai pemangkin masa depan anak muda di Pahang.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan