AM

Malaysia, China Bincang Hubungan Dua Hala, Perkembangan Geopolitik Semasa - Mohamad

17/04/2025 12:22 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

SEPANG, 17 April (Bernama) -- Perbincangan mengenai hubungan ASEAN-China serta perkembangan geopolitik semasa menjadi antara fokus utama dalam sesi lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia yang berakhir hari ini.

Menteri Luar Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pertemuan Xi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam di Putrajaya antara lain turut membangkitkan topik hubungan dua hala Malaysia-China dan ekonomi semasa.

“Perbincangan dua hala antara Malaysia dan China pada petang semalam berlangsung begitu baik sekali. Pelbagai perkara yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin negara dan ini merupakan lawatan negara yang amat berjaya.

“China, sebagai rakan dagang utama Malaysia, kita akan lihat bagaimana dapat mempertingkatkan lagi perdagangan dua hala Malaysia-China sekali gus membawa manfaat kepada negara,” katanya kepada Bernama dan RTM di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Anwar hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada Xi dan delegasinya yang berlepas ke Kemboja selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia.

Pesawat Air China yang membawa Xi dan delegasinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10.04 pagi.

Turut menjadi tumpuan dalam perbincangan adalah isu keselamatan di Laut China Selatan, selain hubungan rentas benua antara China dengan Asia Tenggara serta blok serantau yang lain.

“… ini amat penting kerana dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu pada masa ini, hubungan rapat antara negara-negara itu sangat penting kerana kita saling memerlukan.

“Seperti yang saya sebutkan, lawatan ini amat berjaya, bukan sahaja dari segi substantif atau inti pati perbincangan, malah dari segi urusan logistik dan persiapan yang telah diuruskan dengan baik,” katanya.

Presiden Xi memulakan lawatan negara pada Selasa atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertama pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Ia juga merupakan sebahagian daripada siri kunjungan Presiden China ke tiga negara Asia Tenggara, yang telah membawanya ke Vietnam sebelum ini. Ini adalah siri lawatan negara pertama beliau pada tahun ini.

Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

Pada 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion, merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia sebanyak RM2.88 trilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan