EKONOMI

Sektor Perbankan Asia Pasifik Kekal Berdaya Tahan Di Sebalik Risiko Tarif AS - Fitch Ratings

17/04/2025 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) --  Fitch Ratings mengekalkan pandangan neutral untuk sektor perbankan merentas beberapa negara di Asia Pasifik (APAC) termasuk Malaysia dengan menyatakan bahawa ia lebih berdaya tahan terhadap tarif Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi.

Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan berkata ia disebabkan oleh pendedahan eksport langsung ekonomi secara umumnya lebih rendah kepada AS.

Walaupun pada mulanya ia telah menjangkakan keadaan operasi stabil secara meluas di kebanyakan sistem perbankan APAC tahun ini, lonjakan tarif AS boleh menjejaskan andaian itu dalam sesetengah pasaran.

"Kesan perang perdagangan terhadap sistem perbankan tertentu di rantau ini akan bergantung kepada hasil daripada tarif akhir, kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi tempatan, pendedahan bank kepada sektor mudah terjejas dan potensi perubahan dalam dasar fiskal, monetari atau kredit," katanya.

Prospek neutral semasanya untuk sektor perbankan Korea, Taiwan dan Thailand pada 2025 boleh berubah menjadi merosot jika terdapat peningkatan ketara dalam tarif AS melebihi tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas semua rakan dagang AS pada 2 April atau seandainya kesan kepada pertumbuhan ekonomi mereka lebih teruk daripada yang dijangkakan, katanya.

“Ini boleh berlaku jika AS terus melaksanakan tarif timbal balik khusus negara yang dikenakan tarif lebih tinggi yang ketika ini ditangguh sementara, contohnya, atau disebabkan tarif lebih tinggi pada sektor seperti elektronik termasuk semikonduktor,” kata Fitch Ratings.

Ia menambah bahawa kualiti aset bank dalam sektor tertentu boleh terjejas teruk oleh kenaikan tarif AS tambahan atau kesan perdagangan secara tidak langsung.

“Sebagai contoh, prestasi bank boleh menjadi lemah jika pertumbuhan ekonomi China perlahan disebabkan oleh tarif, menjejaskan permintaan untuk eksport dari pasaran tempatan mereka.

"Perang perdagangan juga boleh mendorong pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar faedah dasar lebih cepat daripada yang kami jangkakan, ia akan menurunkan margin faedah bersih (NIM) sektor perbankan dalam kebanyakan pasaran," katanya.

Fitch Ratings berkata sebarang perubahan dalam prospek sektor seharusnya memberi sedikit impak pada skor persekitaran operasi sistem perbankan yang kekal secara relatif stabil walaupun China berpotensi menghadapi tekanan paling rendah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan