SHAH ALAM, 17 April (Bernama) -- Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Selangor Prihatin sebagai menyokong usaha kerajaan negeri membantu mangsa yang terkesan serta proses pemulihan dan pembangunan semula susulan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Sumbangan diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas kepada Pegawai Kewangan Negeri Datuk Dr Haniff Zainal Abidin dengan disaksikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.
Mahmud berkata sumbangan itu melibatkan penyertaan aktif anak-anak syarikat serta rakan strategik Kumpulan PKNS yang mencerminkan semangat solidariti dan usaha bersepadu dalam meringankan beban mangsa serta mempercepat proses pemulihan komuniti yang terkesan.
“Sumbangan ini juga bertujuan memenuhi keperluan mendesak dan meringankan beban keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta harta benda.
“Bantuan disalurkan akan meliputi keperluan barangan asas, kerja-kerja pembersihan kawasan, serta pembinaan semula kediaman dan kemudahan awam yang rosak akibat insiden berkenaan,” katanya kepada pemberita pada majlis itu, hari ini.
Semalam, media melaporkan Kerajaan Negeri Selangor berjaya mengumpul dana sebanyak RM4.74 juta bagi membantu mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights menerusi Tabung Selangor Prihatin yang dilancarkan pada 4 April lepas.
Mahmud berkata PKNS amat bersimpati dengan kesukaran menimpa penduduk Putra Heights dan sebagai agensi pembangunan negeri yang komited terhadap kesejahteraan rakyat Selangor, adalah menjadi tanggungjawab untuk bersama-sama kerajaan negeri serta agensi berkaitan dalam membantu mereka memerlukan.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan orang awam semasa dan selepas kejadian.
“Oleh itu, PKNS menyeru lebih banyak pihak termasuk syarikat swasta, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta menyalurkan sumbangan ke Tabung Selangor Prihatin, agar bantuan dapat diperluaskan dan memberi manfaat kepada lebih ramai mangsa terkesan,” katanya.
Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celcius sehingga menjejaskan 219 rumah di kawasan sekitar.
Sementara itu, Mahmud berkata Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS hari ini telah menghimpunkan lebih 3,000 tetamu terdiri daripada pelbagai sektor seperti hartanah, perbankan, PBT, jabatan kerajaan serta pengamal media, sekali gus memperkukuh hubungan strategik PKNS dengan rakan industri dan pihak berkepentingan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial