KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Sebanyak 1,250 pelajar asnaf Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima bantuan kewangan berjumlah RM200 setiap seorang menerusi program Ziarah Kasih Pusat Pungutan Zakat (PPZ)–Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata bantuan keseluruhan bernilai RM250,000 itu disalurkan bagi meringankan beban pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah sekali gus memberi harapan kepada kehidupan yang lebih baik.
“Saya percaya program dan inisiatif seperti ini merupakan satu usaha yang baik dalam memastikan lebih ramai golongan asnaf dapat disantuni.
“Ia bukan sahaja berupaya mencerminkan keprihatinan pusat zakat terhadap kebajikan masyarakat, malah menguatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kutipan dan agihan zakat selepas ini,” katanya ketika berucap pada program Ziarah Kasih PPZ–MAIWP di sini hari ini.
Bantuan itu diberikan kepada pelajar terpilih dari 10 IPT di sekitar Kuala Lumpur termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).
Mohd Na’im berkata penyerahan sumbangan itu merupakan satu daripada lima segmen bantuan di bawah program Ziarah Kasih PPZ–MAIWP yang dirancang sepanjang tahun ini termasuk program Iftar Perdana di Dataran Merdeka, Kasih Medik MAIWP, Kasih Komuniti dan Kasih Intelek MAIWP.
“Saya percaya ada dalam kalangan pelajar terpaksa mengikat perut dan berlapar akibat kekangan kewangan.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan mereka, malah memberi kesan kepada tumpuan prestasi akademik, justeru bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban meskipun mungkin untuk jangka pendek,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial