KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Solarvest Holdings Bhd, HSS Engineering Sdn Bhd dan Shizen Malaysia Sdn Bhd telah membentuk perkongsian tenaga boleh baharu (RE) bagi melaksanakan kemudahan fotovoltan solar berkapasiti 29.99mWAC yang terletak di Gurun, Kedah dengan pelaburan sebanyak RM142 juta.
Ketiga-tiga pihak tersebut telah membentuk SM01 Sdn Bhd, di bawah inisiatif Program Tenaga Hijau Korporat, yang mana Shizen Malaysia akan memiliki kepentingan sebanyak 49 peratus, Solarvest Asset Management Sdn Bhd, anak syarikat Solarvest Holdings (33 peratus) dan HSS Engineering Sdn Bhd (18 peratus).
Perkongsian ini, yang diumumkan semalam di Ekspo 2025 Osaka, Jepun, difasilitasi oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Inisiatif Pelaburan Hijau Kerajaan, yang mencerminkan komitmen Malaysia untuk memupuk kerjasama antarabangsa dalam pembangunan tenaga yang mampan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA untuk Promosi dan Fasilitasi Pelaburan, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata perkongsian itu menonjolkan komitmen Malaysia untuk pembangunan mampan selain kedudukannya sebagai destinasi utama bagi pelaburan mesra alam di rantau ini.
"Projek SM01 adalah sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menunjukkan bagaimana kerjasama antarabangsa dapat mempercepatkan perjalanan kami ke arah masa depan karbon rendah," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menekankan bahawa MIDA tetap berdedikasi untuk memudahkan inisiatif hijau berimpak tinggi yang bukan sahaja akan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar tetapi mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan teknologi di sektor tenaga boleh baharu Malaysia.
Sementara itu, Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka dengan tema, "Menenun Masa Depan dalam Harmoni" berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan visi negara yang inklusif, inovatif dan lestari, sambil mempromosikan kedudukannya sebagai hab serantau serta destinasi utama untuk perdagangan dan pelaburan, terutama dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi hijau yang mampan.
Inisiatif ini memperkukuhkan imej negara sebagai destinasi pelaburan yang sedia masa depan dan kompetitif di peringkat global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial