Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) ditutup rendah untuk hari keempat berturut-turut pada Khamis, tertekan oleh kebimbangan terhadap pengeluaran yang meningkat dalam beberapa minggu akan datang.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata ringgit yang mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) turut menjejaskan sentimen pasaran.
“Kami mengesan paras sokongan pada RM4,000 satu tan dan paras rintangan pada RM4,200 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata angka pengeluaran daripada Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) bagi separuh pertama April adalah lebih rendah daripada jangkaan, memandangkan pasaran menjangkakan pertumbuhan dua digit.
“Anggaran eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-15 April yang dilaporkan oleh juruukur kargo Societe Generale de Surveillance adalah sebanyak 376,584 tan, meningkat 7.05 peratus; Intertek Testing Services pula sebanyak 491,984 tan, meningkat 16.95 peratus; dan AmSpec sebanyak 450,657 tan, peningkatan 13.55 peratus berbanding anggaran eksport masing-masing bagi tempoh 1-15 Mac.
“Sementara itu, anggaran pengeluaran SPPOMA pada 1-15 April menunjukkan pertumbuhan 3.97 peratus,” katanya sambil menambah pasaran kini sedang menunggu semakan semula cukai eksport minyak sawit Indonesia.
Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2025 turun RM23 kepada RM4,184 satu tan, Jun 2025 susut RM14 kepada RM4,070 satu tan, Julai 2025 jatuh RM4 kepada RM4,011 satu tan, Ogos 2025 menyusut RM5 kepada RM3,981 satu tan.
Kontrak September 2025 menurun RM7 kepada RM3,965 satu tan dan Oktober 2025 jatuh RM13 kepada RM3,961 satu tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 82,063 lot daripada 94,914 lot semalam, manakala kepentingan terbuka susut kepada 241,147 kontrak daripada 241,905 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi April Selatan kekal tidak berubah kepada RM4,300 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial