AM

Libat Urus Dengan Tentera Myanmar Untuk Bantuan Kemanusiaan, Bukan Pengiktirafan

18/04/2025 08:07 AM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Penglibatan Malaysia dengan pihak tentera Myanmar baru-baru ini adalah semata-mata bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan pasca gempa bumi dan tidak membawa maksud pengiktirafan politik terhadap junta negara itu.

Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin dalam satu kenyataan hari ini berkata meskipun Malaysia mengiktiraf kepentingan berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC), interaksi semasa dengan pihak tentera adalah bersifat kemanusiaan semata-mata.

“Ia tidak membawa maksud pengiktirafan politik terhadap junta, sebaliknya merupakan usaha pragmatik dan segera untuk memastikan bantuan sampai kepada mangsa bencana gempa bumi bermagnitud 7.7 yang telah meragut lebih 3,600 nyawa dan menjejaskan lebih 6.3 juta penduduk,” katanya.

Kenyataan itu sebagai respons terhadap kenyataan bekas Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mempersoalkan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Junta Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada hari ini mengenai  misi bantuan kemanusiaan ke negara itu.

Tan berkata kenyataan Saifuddin mengetepikan tujuan utama lawatan itu iaitu bagi memastikan bantuan kecemasan dapat disalurkan kepada mangsa bencana.

“Walaupun kita menghormati perbezaan pandangan terhadap pendekatan dasar luar, penting untuk membezakan antara pendirian politik dan tindakan kemanusiaan yang mendesak,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa lawatan Anwar tidak menyimpang daripada pendirian bersama ASEAN, sebaliknya dibuat dengan pengetahuan dan sokongan pemimpin ASEAN lain atas dasar keperluan mendesak untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

Tan mengakui bahawa semasa Saifuddin menjadi Menteri Luar, Malaysia mengekalkan dasar tidak berhubungan dengan junta Myanmar, namun menegaskan keadaan semasa memerlukan pendekatan berasaskan kemanusiaan, bukan politik.

“Ini bukan soal mengiktiraf mana-mana rejim. Ini soal menyelamatkan nyawa dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang amat memerlukannya,” katanya.

Misi kemanusiaan itu adalah selaras dengan komitmen Malaysia untuk menyalurkan bantuan berjumlah RM10 juta, termasuk penghantaran Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART).   

Perbincangan Anwar juga bertujuan memanjangkan gencatan senjata antara pihak tentera dan kumpulan penentang bagi memastikan operasi bantuan berjalan lancar dan selamat.

“Malaysia kekal komited terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN dan terus menyokong penyelesaian krisis Myanmar secara aman, inklusif dan demokratik.

“Namun dalam keadaan bencana alam, pertimbangan politik tidak seharusnya menghalang usaha menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak berkepentingan, dalam dan luar ASEAN, agar menyokong usaha yang mengutamakan kebajikan rakyat Myanmar dan memberi respons terhadap krisis kemanusiaan dengan penuh tanggungjawab.

Pada 30 Mac lepas, seramai 50 anggota SMART yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah dihantar ke Myanmar bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan