AM

Noktah Kemelut Pencerobohan Tanah Secara Haram - Sultan Pahang

18/04/2025 01:03 PM

KUANTAN, 18 April (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu kemelut pencerobohan tanah secara haram di negeri ini dinoktahi. 

Al-Sultan Abdullah bertitah sebanyak 14,494.9 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi. 

Baginda bertitah seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) juga telah diceroboh, kononnya atas nama pertanian, tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri.

"Masalah ini bukan baru bermula semalam, ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lepas, ia berlaku tanpa pengetahuan beta namun bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan. 

"Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam. Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahi kemelut pencerobohan tanah secara haram ini. Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran. 

"Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah, biarlah Allah SWT yang Maha Adil menentukan dan menjatuhkan hukumnya," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah bertitah seiring dengan keputusan kerajaan negeri, baginda menegaskan tidak akan ada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram. 

Titah baginda ia adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah kepada negeri dan rakyat.

"Tambahan pula keadaan hari ini sangat membimbangkan, apabila ada yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati, seolah-olah pencerobohan ini satu bentuk perjuangan. 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan