EKONOMI

KDNK Suku Pertama Malaysia Dijangka Tumbuh 4.4 Peratus, Disokong Aktiviti Domestik, Permintaan Kukuh

18/04/2025 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang 4.4 peratus pada suku pertama 2025, mereda daripada pengembangan sebelum itu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu kekal kukuh dalam situasi cabaran global yang berlarutan, disokong oleh asas ekonomi domestik yang berdaya tahan.

Beliau berkata sektor pembuatan merekodkan peningkatan output 4.8 peratus pada Februari, dipacu terutamanya oleh industri berorientasikan eksport.

Perayaan bermusim seperti sambutan Tahun Baru Cina, persediaan Ramadan dan pembukaan semula tahun persekolahan telah membantu memastikan aktiviti ekonomi kekal positif.

Faktor-faktor ini menyumbang kepada prestasi jualan perdagangan edaran yang lebih kukuh, dengan peningkatan 5.1 peratus pada Februari berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, terutamanya disokong oleh prestasi kukuh dalam kedua-dua perdagangan borong dan runcit, katanya.

Di samping itu, Mohd Uzir berkata pasaran buruh kekal memberangsangkan dengan peningkatan guna tenaga yang berterusan dan kadar pengangguran yang stabil pada 3.1 peratus.

Bagi sektor luaran, aktiviti perdagangan berterusan disokong oleh permintaan global yang lebih baik bagi barangan eksport utama.

Secara keseluruhan, komponen domestik dan luaran membantu mengurangkan kesan ekonomi dalam menghadapi cabaran global, seterusnya menyokong pertumbuhan bagi suku tahun ini, katanya.

Bagi prestasi mengikut sektor, sektor perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2025, mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus (suku keempat 2024:5.5 peratus), diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi.

Sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus (suku keempat 2024: 4.4 peratus), terutamanya disokong oleh pengeluaran yang kukuh dalam produk elektrik, eletronik dan optikal serta minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta prosesan makanan.

Beliau berkata sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan dua digit bagi lima suku tahun berturut-turut dengan pertumbuhan 14.5 peratus (suku keempata 2024: 20.7 peratus), disokong terutamanya oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas dan bangunan kediaman.

Sektor pertanian mencatatkan peningkatan marginal 0.7 peratus (suku keempat 2024: -0.5 peratus), didorong oleh subsektor perikanan.

Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian terus menyusut kepada negatif 4.9 peratus (suku keempat 2024: -0.9 peratus), dipengaruhi oleh pengeluaran yang lebih rendah dalam semua subsektor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan